Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Indonesia misalnya, telah menyatakan minat mendalam untuk menyertai TPPA dan memohon bantuan Malaysia dari segi sokongan dan pengalaman-pengalaman yang telah dilalui.

Menurut beliau, kumpulan teras TPPA bersetuju bahawa negara-negara yang baharu memohon masuk tidak akan tergolong dalam 12 negara penggerak asal, sebaliknya perlu mematuhi ketetapan yang telah dicapai.

“Atas sebab inilah, Malaysia membuat keputusan tepat dalam menganggotai 11 negara awal merundingkan butir-butir perjanjian TPP ini.

“Saya telah melahirkan penghargaan kepada rakan-rakan TPP yang menyokong permintaan Malaysia supaya mereka menerima isu-isu sensitif seperti agenda bumiputera dengan memberikan fleksibiliti termasuk penyelesaian (carves-out),” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Perdana Menteri menyertai pertemuan khas 12 negara TPP merangkumi Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan ketua-ketua negara dari Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam, di luar Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) Filipina 2015 selama dua hari bermula hari ini.

Najib berkata, semua 12 negara menyatakan rasa gembira terhadap rundingan yang berjaya dimuktamadkan dan teks perjanjian sedang melalui proses pengesahan di dalam negara masing-masing sebelum dilaksanakan.

“Para ketua negara menzahirkan kegembiraan hasil daripada TPP semasa Sidang Kemuncak Pemimpin G20 di Turki dan APEC di sini.

“Ini adalah pencapaian bersejarah kerana tidak ada perjanjian perdagangan sebesar ini dimuktamadkan dalam tempoh terdekat. Ia begitu signifikan terutamanya, kerana perjanjian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) gagal memberikan hasil sejak pelancaran Agenda Pembangunan Doha, 14 tahun lalu,” katanya.

Perdana Menteri berkata, TPP menunjukkan negara-negara yang memiliki tahap pembangunan berbeza mampu memuktamadkan rundingan yang sukar.

“TPP akan memberi manfaat kepada pengguna dan industri. Terdapat konsensus dalam kalangan Ketua Negara bahawa setiap anggota TPP akan menerima manfaat daripada perjanjian ini.

“TPPA adalah berkenaan akses pasaran dan peraturan serta piawaian bagi masa depan. Perniagaan-perniagaan perlu cergas dan menyesuaikan diri kepada keadaan perubahan ini,” kata beliau.

Najib berkata, kerajaan Malaysia akan terus meningkatkan interaksi dengan pemegang saham, sehingga sesi perdebatan di Parlimen pada Januari 2016 supaya setiap orang akan memahami peluang-peluang yang wujud dan cabaran yang dibawa TPPA.

“TPPA dan Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akan membuka jalan kepada penubuhan kawasan perdagangan bebas lebih besar Asia Pasifik atau (FTAAP) yang merupakan kehendak semua ekonomi-ekonomi APEC,” kata beliau. – UTUSAN