Mustapha Mohamed

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ke­lebihan tersebut akan diperoleh menerusi pindaan akta dan undang-undang buruh sedia ada selepas TPPA dipersetujui dan dimeterai sepenuhnya.

“Kementerian Sumber Manusia sudah adakan kajian ubah suai terhadap pindaan undang-undang buruh serta beberapa pindaan lain sejurus TPPA ditandatangani dan apabila tiba masanya, pindaan akan dilakukan dalam tempoh dua tahun selepas TPPA ditandatangani.

“Apa yang penting, beri ruang yang lebih kepada pekerja tubuhkan persatuan pekerja kerana sebelum ini mereka ada beberapa kekangan dan sudah pasti pihak majikan tidak selesa kerana mereka terlalu mengongkong pekerja,” katanya da­lam sidang akhbar selepas majlis penerangan TPPA peringkat negeri, di sini hari ini.

Yang turut hadir, timbalannya, Datuk Ahmad Maslan; Pengerusi Jawatan­kuasa Pe­lan­congan, Perdagangan Dalam negeri dan Ke­penggunaan negeri, Da­tuk Tee Siew Kiong serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Dzulkifli Mahmud.

Dalam pada itu, Mustapa berkata, pihaknya akan bertemu dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) esok dan kemudian dengan Ahli Parlimen lain termasuk pembangkang di Dewan Rakyat lusa bagi menerangkan lebih lanjut tentang TPPA.

“Kemudian pada 26 dan 27 Januari ini, kita akan bentangkan cada­ngan kerajaan di Dewan Rakyat dan sekiranya dipersetujui akan dibawa dan dirujuk ke Dewan negara pada 28 Januari ini. Bagaimanapun keputusan untuk menandatangani TPPA belum pasti lagi, tunggulah di Parlimen nanti,” katanya.

Sementara itu, pihaknya akan melancarkan buku kecil berkenaan TPPA secara percuma esok di pejabat kementeriannya yang akan menerangkan asas perjanjian dan manfaat yang bakal diperoleh menerusi perjanjian tersebut.

Buku ringkasan penerangan tersebut untuk memastikan rakyat faham tentang TPPA kerana sebelum ini ramai yang keliru ekoran terdapat banyak versi mengenai perjanjian tersebut yang sumbernya bukan daripada pihak kerajaan, katanya.