Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, negara-negara yang masih kekal dalam pakatan itu cukup komited untuk menjadikan TPP sebagai blok ekonomi yang signifikan selepas Kawasan Perdagangan Bebas Asia (AFTA).

“Saya yakin TPP akan dite­ruskan walaupun tanpa Amerika Syarikat (AS). Saya optimis yang kita akan mencapai kata sepakat,” katanya ketika menjadi ahli panel Dialog Wawasan APEC Pasca 2020 sempena Sidang Kemuncak Ke­tua-ketua Eksekutif (CEO) APEC ldi Pusat Konvensyen dan Pameran Ariyana di sini hari ini.

Najib menjawab soalan wartawan CNBC Nancy Hungerford yang menjadi moderator dialog tentang masa depan pakatan itu selepas AS yang pada awalnya menerajui inisiatif ini menarik diri atas arahan Presiden Donald Trump, Januari lalu.

Dialog di luar Sidang Kemuncak APEC 2017 itu turut disertai Perdana Menteri Papua New Guinea, Peter O’ Neill.

Sebagai penyokong kuat perdagangan bebas, Najib menaruh keyakinan TPP mampu mencapai konsensus demi menyelamatkan pakatan perdagangan itu yang bakal menjana kekayaan dan mewujudkan situasi menang-menang untuk semua.

Kesemua 11 menteri TPP dan ketua-ketua perunding telah pun bermesyuarat sehingga pukul 3 pagi tadi untuk mencapai konsensus, dan perbincangan disambung semula di peringkat ketua-ketua kerajaan petang ini.

Bagaimanapun, dalam per­kem­­bangan terkini petang tadi, masa depan TPP masih tidak menentu apabila Kanada dilaporkan oleh media antarabangsa sebagai anggota terbaru yang bakal menarik diri.

Ini berikutan, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau tidak muncul pada mesyuarat peringkat ketua-ketua kerajaan petang tadi.

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern dipetik oleh portal berita negara itu, mengesahkan ketidakhadiran Trudeau.

Portal The Star memetik pegawai yang terlibat dalam TPP mendakwa Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe yang mempengerusikan mesyuarat mengumumkan perjanjian tidak dapat dimuktamad­kan.

Perkembangan terbaharu ini mengejutkan menteri dan perunding terlibat memandangkan  mesyuarat yang berakhir hingga awal pagi tadi dilaporkan secara amnya mencapai persetujuan untuk meneruskan TPP. – UTUSAN