Tangkap layar
 

Pejabat Timbalan Perdana Menteri dalam satu kenyataan memberitahu, ini termasuk catatan terbaharu oleh akaun Facebook bernama 'Menteri FB' yang menyiarkan gambar Timbalan Perdana Menteri bersama Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang.

"Pejabat Timbalan Perdana Menteri menegaskan bahawa gambar yang disertakan dengan kapsyen palsu itu adalah gambar lama.

"Malah, Timbalan Perdana Menteri merasmikan Tasputra Perkim pada pagi ini dan juga meluangkan masa berkomunikasi bersama pihak media di majlis tersebut," katanya di sini hari ini.

Gambar yang disiarkan akaun Facebook Menteri FB itu disertai kapsyen: 'Selepas Azmin Ali (Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) dimasukkan ke hospital, tiba pula giliran Wan Azizah Ismail'.

Catatan tersebut jelas Pejabat Perdana Menteri, disertakan dengan pembohongan termasuk spekulasi bahawa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan menggunakan 'penyakit' kedua-dua Mohamed Azmin dan Wan Azizah sebagai alasan untuk melantik anak beliau, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Kenyataan tersebut turut memetik kenyataan Wan Azizah yang menyifatkan catatan seumpama itu sebagai usaha berniat jahat daripada pihak yang tidak bertanggungjawab dan berselindung di sebalik nama samaran untuk mewujudkan ketegangan dalam PH.

Wan Azizah turut meminta semua pihak tidak mudah mempercayai semua yang dibaca di media sosial serta tidak mengkongsikannya apabila tidak pasti, kata Pejabat Timbalan Perdana Menteri.

"Timbalan Perdana Menteri berkata bahawa di kala sosial media telah merubah cara kita berkomunikasi pada hari ini dan telah menjadikan dunia tanpa sempadan, perlulah ada rasa tanggungjawab terhadap catatan yang disiarkan," tegas kenyataan tersebut. - UTUSAN ONLINE