Timbalan Perdana Menteri berkata, kewujudan suruhanjaya itu mampu memastikan dasar pendidikan yang telah diluluskan tidak terkesan  apabila Menteri Pendidikan atau Menteri Pendidikan Tinggi berubah.

"Jangan jadikan murid atau pelajar masuk dalam makmal ujian. Mereka bukan bahan uji kaji, mereka adalah aset negara yang harus terus diperkasa.

"Jangan ada agenda peribadi dalam sistem pendidikan," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Agung Tahunan GPMS Ke-63 di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Reezal Merican Naina Merican; Presiden GPMS, Zamri Mohd. Isa dan Timbalannya, Ezaruddin Abd. Rahman.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menegaskan sokongan beliau terhadap cadangan itu bukan untuk menafikan sumbangan Menteri Pendidikan dan Menteri Pendidikan Tinggi sedia ada serta yang terdahulu tetapi lebih kepada usaha memantapkan sistem pendidikan negara.

"Bukan salahkan mana-mana menteri sebelum ini, malah saya puji pencapaian menteri yang ada sekarang, tahniah kepada kedua mereka. Tetapi sistem pendidikan akan dimantapkan apabila wujud suruhanjaya ini.

"Hari ini ada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan, itu tidak cukup. Kita mahu suruhanjaya yang mengungguli sektor pendidikan yang harus dipatuhi menteri-menteri akan datang," jelas beliau. - UTUSAN ONLINE.