Menurutnya, beliau berasa sedih atas pemergian mendiang kerana sudah lama menjalin persahabatan semasa sama-sama menyertai kepemimpinan Pemuda dalam Barisan Nasional (BN)

Katanya, beliau mula mengenali mendiang pada 1987 ketika Celestine Ujang dalam kepe­mimpinan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), manakala beliau dengan Pemuda UMNO bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Mendiang merupakan sahabat karib dalam Pemuda BN, saya kerap mengunjungi beliau ketika sihat dan sakit beberapa kali, malah hari jadi mendiang pada tahun lalu juga saya sempat meraikan bersama.

"Beliau mempunyai perwatakan baik dan telah memulakan kerjaya politik terlalu muda serta menjadi contoh yang harus diikuti pemimpin politik muda," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediaman mendiang di Jalan Urat Mata, Tabuan Jaya di sini malam ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang tiba pada pukul 8 malam disambut menantu mendiang, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ale­xander Nanta Linggi bersama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri James Jemut Masing dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Ahmad Zahid turut bertemu dengan isteri mendiang, Puan Sri Elizabeth Pawa bagi mengucapkan takziah atas kematian suaminya.

Celestine Ujang pernah me­nyertai Kabinet Negeri dan memegang beberapa portfolio termasuk sebagai Menteri Belia dan Sukan negeri, Menteri Pemba­ngunan Tanah, Menteri Perumahan serta dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mendiang meninggal dunia pada pukul 7.48 malam kelmarin di Pusat Perubatan KPJ Kuching akibat sakit tua.