Pusat pengajian tinggi tersebut dibina di sebidang tanah seluas 65.2 hektar yang terletak kira-kira sembilan kilometer dari pekan Baling.

Kampus baharu itu dibina di kawasan tersebut memandangkan beberapa kemudahan utiliti dan prasarana seperti bekalan air, elektrik, sekolah, masjid serta jalan raya telah siap tersedia.

Kampus itu akan mula dibina dalam masa terdekat menelan belanja sebanyak RM340 juta dan dijangka siap pada 2023 dengan pengambilan seramai 3,000 pelajar bagi siri pertama.

Pembinaan kampus itu juga akan memberi kelebihan kepada penduduk setempat apabila mereka boleh menjana pendapatan berikutan limpahan ekonomi hasil daripada peningkatan taraf kawasan luar bandar yang mempunyai institusi pengajian tinggi.

Menurut Ahmad Zahid, pembinaan kampus tersebut bertepatan dengan tujuan untuk meningkatkan jumlah pelajar UiTM kepada 200,000 orang di kampus induk dan cawangan negeri.

“Perkara ini penting bagi memperlihatkan komitmen bahawa agenda memperkasakan bumiputera berjalan tanpa ketepikan bangsa lain.

“Selain itu, kampus ini bukan hanya memberi kelebihan kepada penduduk Kedah malah seluruh Malaysia dapat manfaat apabila pelajar dari seluruh negara datang dan belajar di sini,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Sementara itu, penyandang kerusi Parlimen Baling yang juga Pengerusi Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, dengan adanya kampus tersebut diharap dapat membawa golongan muda keluar daripada kepompong kemiskinan menerusi ilmu pengetahuan.

“Apabila mereka mempunyai ilmu, ia boleh membawa mereka keluar dan tidak bergantung kepada hasil getah.

“Ia juga akan membuka lebih banyak peluang untuk mereka mengubah nasib diri seterusnya meningkatkan taraf ekonomi keluarga,” jelasnya.