Pengurus Komunika­si Korporat KYPJ, Zaid Zain berkata, ketiga-tiga pemba­ngunan yang akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri itu merupakan sebahagian daripada komponen Ban­dar Akademik Johor.

Katanya, Kampus Induk KYPJ merupakan komponen pertama yang sudah memulakan operasi pada awal tahun ini melibatkan seramai 2,500 penuntut ketika ini.

“Kampus yang dibina dengan kos RM120 juta ini menempatkan Bangunan Pentadbiran dan Akademik serta tiga buah sekolah di bawah KYPJ.

“Sekolah itu adalah Sekolah Hospitaliti dan Pelancongan, Sekolah Kejuruteraan Sains Krea­tif dan Sekolah Pengurusan Sains Sosial,” katanya dalam satu ke­nya­taan di sini hari ini.

Kampus tersebut dilengkapi dengan 40 bilik kuliah, lapan dewan kuliah, masjid, kafeteria, pusat rekreasi serta empat blok asrama dengan kapasiti 2,200 penghuni.

Menurut Zaid, KYPJ menawarkan sebanyak 16 program peringkat di­ploma merangkumi pengurusan, perhotelan dan ku­linari, perbankan Islam, kejuruteraan teknologi dan seni bina.

Hab Kemahiran Johor pula katanya, merupakan pusat pembe­lajaran yang menyediakan latihan dalam Pendidikan Teknikal dan Vokasional serta mampu menampung hingga 20,000 pelatih apabila beroperasi sepenuhnya pada 2018.

“Antara bidang yang diberikan penekanan termasuklah minyak dan gas, perhotelan dan pelancongan, penjagaan kesihatan, bio­teknologi dan logistik.

“Sementara itu, PPA1M pula melibatkan pembinaan 694 unit rumah teres dua tingkat bagi kemudahan penjawat awam di lokasi berhampiran,” ujarnya.