Menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), ternakan madu kelulut itu merupakan Program Pertanian Bandar Putrajaya (Putrajaya Urban Farming Program) berasaskan komuniti atau ‘community based’ yang sebelum ini berjaya memenangi beberapa Anugerah Kejiranan Hijau di peringkat nasional.

Jelasnya, program berasaskan komuniti itu juga telah memenangi anugerah di peringkat antarabangsa iaitu ‘Livable Community Awards 2012 Al Ain Abu Dhabi’ bagi kategori ‘Community Garden’.

“Ia inisiatif golongan warga emas Putrajaya, mengusahakan program ternakan madu kelulut di kawasan seluas lebih kurang 0.5 ekar dengan lebih 50 log kelulut. Hasil ternakan madu kelulut ini telah memberikan pendapatan kepada komuniti setempat yang merupakan golongan pesara,” jelasnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam lawatan itu jelasnya, Dr. Wan Azizah menyaksikan demonstrasi tuai madu kelulut, melawat kebun buah ‘rock melon’ sambil beramah mesra dengan komuniti pertanian bandar Putrajaya.

“Lawatan ini diatur bagi membolehkan Timbalan Perdana Menteri melihat sendiri penternakan madu kelulut memandangkan beliau seringkali menjadikan madu kelulut sebagai cenderamata kepada Ketua-ketua negara dan delegasi asing sebagai satu usaha mempromosikan produk Malaysia ke peringkat antarabangsa.

“Timbalan Perdana Menteri turut berharap agar projek sebegini dapat dicontohi oleh komuniti-komuniti di tempat lain dan diperkembangkan sebagai satu aktiviti sihat yang dapat menjana pendapatan,” jelas kementerian itu. - UTUSAN ONLINE