Timbalan Perdana Menteri ber­kata, dalam lawatannya itu, beliau menyaksikan sendiri keadaan pelarian etnik tersebut yang berada dalam situasi serba kekura­ngan dan terpaksa melalui pelbagai kesusahan serta keperitan untuk terus hidup.

Beliau berkata, sokongan daripada negara-negara anggota D-8 amat diperlukan bagi membantu meringankan penderitaan yang sedang dihadapi oleh kumpulan minoriti dari Myanmar itu.

“Dalam hubungan ini, saya memuji usaha murni kerajaan Bangladesh yang memberikan per­lindu­ngan kepada etnik tersebut,’’ katanya ketika berucap mewakili kerajaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak D-8 yang berlangsung di sini hari ini.

Sidang kemuncak itu dirasmikan oleh Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan. Selain Malaysia, D-8 dianggotai oleh Turki, Bangladesh, Iran, Indonesia, Pakistan, Mesir dan Nigeria.

Ahmad Zahid berkata, dalam masa yang sama, etnik Rohingya yang masih berada di negeri Rak­hine juga terus ditindas dan Malaysia menggesa kerajaan Myan­mar membenarkan bantuan ke­manusiaan masuk ke negara tersebut supaya kelompok itu dapat dibantu.

“Malaysia percaya pelaksa­naan cadangan yang disyorkan dalam Laporan Suruhanjaya Penasihat Rakhine berkaitan pembangunan sosioekonomi dapat membantu memperbaiki keadaan komuniti Rohingya.

“Bagaimanapun, cadangan itu hanya dapat dilaksanakan jika wujud kestabilan politik di wilayah tersebut,’’ tegasnya.

Bagi pihak Malaysia, Ahmad Zahid berkata, sebuah hospital medan yang menempatkan 50 katil akan beroperasi dalam tempoh sebulan dari tarikh lawatan beliau pada 16 Oktober lalu.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, industri pelanco­ngan adalah antara bidang yang perlu diberi penekanan bagi memperkukuhkan ekonomi negara anggota D-8.

“Pelancongan menjana pendapatan kedua tertinggi Malaysia seba­nyak ASD19.5 bilion (RM82.3 bilion) pada 2016. Malaysia ber­panda­ngan, negara D-8 sewajar­nya memberi penekanan dan meningkatkan pelaburan dalam bidang ini kerana kesan gandaannya boleh memberi manfaat besar kepada anggota D-8 dan rak­yatnya,’’ katanya.

Menurut beliau, kelebihan ne­gara D-8 ialah kepelbagaian budaya, geografi dan tinggalan sejarah yang berpotensi besar menarik pelancong.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, Malaysia akan menge­tuai Sekretariat Kumpulan Lapan Negara Islam Membangun (D-8) selama empat tahun bermula 1 Januari depan.

Menurutnya bekas Duta Besar Malaysia ke Mesir, Datuk Ku Jaafar Ku Shaari akan me­nyandang jawatan Setiausaha Agung D-8 yang baharu. – UTUSAN

Ahmad Zahid dan pemimpin D-8 yang lain kemudiannya menunaikan solat Jumaat di Masjid Pertevniyal Valide Sultan iaitu masjid terakhir dibina di zaman Empayar Uthmaniyyah, sebelum menikmati jamuan tengah hari yang dihoskan oleh Erdogan di Istana Dolmabahce di sini. – UTUSAN