Timbalan Perdana Menteri ternyata mengubah tradisi majlis bersama media dengan beliau yang menjadi ‘wartawan’ berta­nyakan soalan dan para wartawan pula yang dikehendaki memberikan input serta jawapan.

Pendekatan santai yang diambil oleh Ahmad Zahid dalam Luncheon Talk Bersama Ketua-ketua Pengarang dan Pemegang Permit Penerbitan itu tidak lain tidak bukan adalah kerana hasratnya untuk mendengar sendiri isi hati para pengamal media mengenai cabaran dalam industri percetakan.

“Terima ini sebagai satu pendekatan yang baharu oleh saya kerana saya berasakan kalau saya sahaja yang ditanya soalan, saya akan jawab soalan secara rasmi iaitu pandangan pegawai KDN (Kementerian Dalam Negeri).

“Tetapi saya mengambil pendekatan yang berbeza, saya yang bertanyakan soalan, dahulu kita mempunyai pendekatan top-down (atas ke bawah), penyelesai­an terbaharu ini adalah bottom-up (bawah ke atas), itu yang akan didengar pembuat dasar dan kita ambil kepedulian.

“Zaman kerajaan betul semua telah berlalu, zaman kerajaan tahu semua telah berlalu, ini adalah dasar Perdana Menteri apabila melancarkan TN50 (Transformasi Nasional 2050) dengan pendekatan bottom-up, ini menjadikan dasar-dasar yang dibina kerajaan adalah berdasarkan dari bawah ke atas,” katanya ketika mengendalikan majlis berkenaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Yang hadir sama Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak; Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah; Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd., Datuk Seri Abdul Jalil Hamid; Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Star Media Group Bhd., Datuk Seri Wong Chun Wai dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Azman Ujang.

Secara keseluruhannya, Timbalan Perdana Menteri telah bertanyakan 10 soalan kepada para pengamal media dalam maj­lis berkenaan yang antaranya berkaitan cadangan penubuhan Majlis Media, ancaman beri­ta palsu, kedudukan Malaysia dalam indeks kebebasan media, ledakan media dalam talian serta cabaran kemerosotan jualan industri percetakan.

“Saya menggunakan pendekatan sama untuk semua polisi yang ditentukan oleh KDN supaya kita dapat menjadi rakan pintar dalam perkara ini, begitu juga saya membantu Perdana Menteri dalam mengkoordinasi banyak isu yang merupakan isu bukan ekonomi,” kata Ahmad Zahid.

Sementara itu Ahmad Zahid turut mengumumkan tanda pagar (hashtag) #mediacouncil akan diwujudkan bagi mengumpul input daripada pemain-pemain industri media dan percetakan untuk semakan semula Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 agar seiring dengan cabaran-cabaran didatangkan teknologi platform dalam talian.

“KDN sedaya upaya mahu beri kebebasan kepada semua penulisan, penerbitan dan penyia­ran agar tidak terlalu terkongkong dengan garis panduan, ia mungkin sesuai pada masa dahulu tetapi hari ini ia perlu dimodifikasi tanpa mengkompromikan etika kewartawanan,” katanya.

Ujarnya, sepanjang tahun lalu, KDN telah mengeluarkan sepucuk surat amaran tegas, dua surat amaran, 14 surat teguran, 44 surat nasihat dan empat surat tunjuk sebab kepada syarikat media dan syarikat percetakan.

Dalam pada itu, berhubung keuntungan yang dinikmati syarikat Google serta Facebook dalam platform pengiklanan di negara ini, Ahmad Zahid berkata, beliau akan membawa cadangan dalam mesyuarat Kabinet untuk syarikat antarabangsa terbabit turut dikenakan cukai.