Pengarah Tourism Johor, Abdul Malik Ismail berkata, selain melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, pihaknya turut memberi tumpuan terhadap kemasukan pelancong dari semua pintu masuk utama laut khususnya kemasukan pelancong dari Batam, Indonesia.

Sehubungan itu menurut Abdul Malik, Tourism Johor dengan kerjasama Tourism Batam serta Persatuan Agensi Pelancongan Batam hari ini menganjurkan program Fam Trip selama tiga hari yang membabitkan 51 individu mewakili pihak media, pihak kerajaan dan ejen pelancongan dari Batam.

Rombongan terbabit tiba di Jeti Puteri Harbour, di sini kira-kira pukul 10 pagi dan disambut meriah oleh Tourism Malaysia serta Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Johor.

“Kita ingin mempromosikan produk-produk pelancongan baharu di negeri Johor dengan lebih agresif terutama kepada pasaran Indonesia.

“Kita ingin mereka sedar bahawa kita akan mempunyai produk-produk pelancongan baharu khususnya projek pembangunan pelancongan yang sedang rancak dijalankan di Desaru Coast antaranya Hotel Anantara, Hotel Hard Rock, Hotel Westin, Aman Resort, The Els Club Desaru dan Desaru Coast Adventure Water Park yang dijangka siap pada Jun.

“Selain itu, kita juga akan terus memperhebat promosi produk pelancongan sedia ada di negeri ini seperti Legoland, Taman Aktiviti Angry Birds dan banyak lagi,” katanya. - UTUSAN ONLINE