Rata-rata mereka tertekan kerana memperoleh pendapatan antara RM700 hingga RM1,000 sebulan dan tidak ada tanda-tanda harga getah akan kembali stabil dalam masa terdekat.

Seorang penoreh, Syaari Rah­mat, 34, berkata, pendapatannya tidak menentu dan kadangkala hanya meraih RM100 setiap kali menoreh di kebun milik keluarganya di Felda Kepis di sini.

Katanya, pokok getah hanya boleh ditoreh semula selepas tiga atau empat hari bagi mendapatkan susu, namun kadangkala terpaksa menunggu lebih lama ekoran cuaca tidak menentu.

“Kalau hujan, tidak dapat menoreh dan tidak ada langsung wang untuk beberapa hari. Kadang kala boleh sampai seminggu tidak keluar menoreh. Sebahagian wang hasil getah diberikan kepada ibu manakala bakinya untuk me­nyara isteri dan seorang anak.

“Hidup penoreh getah memang susah lebih-lebih lagi dengan harga barang keperluan yang meningkat. Saya tidak pasti bila masalah ini akan berakhir,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan kira-kira 194,571 pekebun kecil dan penoreh getah di seluruh negara semakin terhimpit ekoran penurunan harga komoditi ber­kenaan.

Penoreh getah yang hanya ma­hu dikenali sebagai Ita, 38, berkata, dia menoreh getah antara empat hingga lima jam sehari di kebun seluas 1.6 hektar milik penduduk kampung, namun hasil yang diperoleh tidak berbaloi.

“Kebiasaannya selepas meng­hantar empat orang anak ke sekolah kira-kira pukul 7.30 pagi, saya dan suami terus ke kebun untuk menoreh dan selesai pada waktu tengah hari.

“Harga getah sangat rendah dan tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan selama beberapa jam. Hasil kena bahagi dua dengan tuan tanah. Bagaimanapun, mahu tidak mahu, terpaksa bekerja untuk menyara empat orang anak,” katanya.

Dia berharap kerajaan me­netapkan harga lantai getah yang berpatutan bagi komoditi itu sekali gus dapat meringankan beban penoreh.