Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan pengguna motosikal yang menggunakan topi keledar tanpa kelulusan SIRIM Berhad (SIRIM).

Menurutnya, langkah tersebut diambil berikutan korban nahas jalan raya pada setiap tahun melibatkan 60 hingga 65 peratus golongan penunggang dan pembonceng motosikal.

“Bagi mengurangkan risiko kecederaan akibat kemalangan, JPJ sedang meningkatkan lagi kawalan ke atas topi keledar import melalui Kelulusan Jenis Komponen-Topi Keledar Motosikal.

“Oleh itu, mana-mana pihak sama ada individu atau syarikat yang ingin membawa masuk topi keledar dari luar negara untuk kegunaan sendiri atau perniagaan perlu membuat permohonan kelulusan tersebut daripada Bahagian Kejuruteraan Automotif, Ibu pejabat JPJ, Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan ujian makmal terhadap topi keledar di SIRIM di sini, kelmarin.

Yang hadir sama ialah Pengarah Urusan SIRIM QAS International, Mohd. Azanuddin Salleh.

Shaharuddin menjelaskan, bagi melaksanakan langkah memperkasa penggunaan topi keledar, pihaknya menggunapakai piawaian Malaysia Standard (MS) 1 bagi topi keledar keluaran tempatan dan UNR 22 bagi topi keledar import.

“Peraturan ini termaktub di bawah Kaedah-kaedah Motosikal (Topi Keledar) 1973 dan Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

“Orang ramai boleh mengetahui sama ada sesuatu topi keledar tersebut mematuhi standard atau tidak berdasarkan penanda E dan pelekat SIRIM pada topi keledar,” katanya.

Beliau memberitahu, pihaknya dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna memulakan kerjasama sejak bulan lalu bagi menjayakan usaha memperkasa penggunaan topi keledar yang selamat dipakai oleh penunggang dan pembonceng motosikal di negara ini. - UTUSAN ONLINE