Itu taktik digunakan tonto yang ditugas bagi memberi habuan kepada mana-mana pihak penguat kuasa yang menahan lori-lori terlibat membawa kayu balak haram atau tidak berpermit.

Menurut sumber, kebiasaannya tonto berkenaan akan diberikan wang saku oleh tauke masing-masing antara RM2,000 hingga RM3,000 sebagai bekalan bagi setiap kali perjalanan penghantaran.

“Wang saku itu bukan sebagai upah tonto berkenaan sebaliknya khusus untuk membayar anggota penguat kuasa sekiranya konvoi lori ditahan.

“Jumlah dibayar bergantung kepada rundingan antara tonto berkenaan dengan anggota penguat kuasa,” katanya kepada Ming­guan Malaysia, baru-baru ini.

Sumber itu turut mendakwa, tonto lebih mudah melakukan sogokan apabila konvoi ditahan ketika mereka dalam perjalanan berbanding semasa sekatan jalan raya oleh pasukan penguat kuasa.

“Ini kerana selalunya sekatan jalan raya merupakan arahan khas daripada pihak atasan malah melibatkan anggota dan pegawai yang ramai, maka amat berisiko jika ada yang mengambil rasuah dalam operasi.

“Berbeza jika ditahan oleh anggota yang membuat rondaan, jumlahnya hanya dua atau tiga anggota,” ujarnya.

Menjelaskan peranan lain tonto terlibat, sumber turut memaklumkan, kumpulan tonto akan bergerak dalam beberapa kenderaan dan turut berfungsi sebagai peninjau.

“Mereka memang licik, ada yang bergerak jauh di bahagian hadapan bagi memastikan laluan terbabit bebas daripada sekatan atau pun peronda,” ujarnya.