Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria berpanda­ngan, kes rasuah melibatkan Guan Eng juga tidak akan berjaya pada akhir kes pendakwaan setelah meneliti keterangan-ke­te­rangan berdasarkan sia­satan.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau:

Di sini saya ingin menjelaskan bahawa keputusan nolle prosequi (iaitu di mana pihak pendakwaan membuat keputusan untuk tidak meneruskan pendakwaan) berhubung pertuduhan terhadap Lim Guan Eng dan Phang Li Koon telah dibuat tanpa sebarang penglibatan oleh Peguam Negara.

Perkara ini pernah dijelaskan dalam kenyataan akhbar bersama yang dikeluarkan pada 2 Ogos 2018 oleh Peguam Cara Negara, Da­tuk Engku Nor Faizah Engku Atek dan Peguam Cara Negara II, Datin Paduka Zauyah Be Loth Khan yang mana kenyataan tersebut telah memaklumkan bahawa Peguam Negara telah menarik diri daripada semua perbincangan berkaitan dengan kes tersebut dan tidak akan terlibat dalam membuat sebarang keputusan yang bakal dibuat oleh Jabatan Peguam Negara.

Dalam hal ini, Jabatan Pe­­­guam Negara telah mengambil pendekatan fresh eye, dan saya telah diberi tanggungjawab untuk membuat keputusan berhubung re­presentasi yang dibuat oleh kedua-dua Guan Eng dan Li Koon. Ini memandangkan saya tidak pernah terlibat dengan kes tersebut dan dipercayai akan dapat memberi pertimbangan terhadap kes tersebut dari per­spektif yang baharu.

Setelah diberi penugasan tersebut, saya telah meneliti keterangan-ketera­ngan berdasarkan penyiasatan yang dilakukan oleh SPRM, dan juga keterangan-kete­rangan yang telah dikemukakan oleh saksi-saksi pendakwaan di mahkamah yang telah diuji de­ngan pemeriksaan balas.

Saya membuat kesimpulan bahawa hasil pemeriksaan balas yang dilakukan terhadap saksi-saksi pendakwaan, keterangan yang menyokong pertuduhan pertama di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan pertuduhan kedua di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan telah dilemahkan secara substantif. Kesimpulan ini dicapai berdasarkan ketera­ngan baharu yang timbul semasa pemeriksaan balas terhadap saksi-saksi pendakwaan.

Setelah membuat kesimpulan-kesimpulan tersebut, saya berpandangan bahawa saya mungkin tidak memenuhi tanggungjawab saya sebagai Timbalan Pendakwa Raya untuk membiarkan kes diteruskan setelah mengetahui bahawa kes terhadap Guan Eng dan Li Koon tidak akan berjaya pada akhir kes pendakwaan.

Maka dengan itu, saya membuat keputusan supaya pihak pendakwaan nolle prosequi pertuduhan-pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh berdasarkan seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah.

Semalam, pada jam 7:18 pagi, saya telah memaklumkan keputusan saya kepada Datuk Masri Mohd. Daud, yang merupakan Pengarah Bahagian Undang-Undang dan Pendakwaan, SPRM dan yang juga merupakan seorang Timbalan Pendakwa Raya, yang ketika itu berada di Pulau Pinang. Walaupun pihak pendakwaan memohon kepada mahkamah untuk satu perintah 'pelepasan tanpa terjumlah kepada pembebasan'. Mahkamah telah memutuskan untuk satu perintah pelepasan dan pembebasan. Keputusan Mahkamah ini dibuat berdasarkan permohonan pihak pembelaan dan telah dibuat mengikut Seksyen 254(3) Kanun Tatacara Jenayah.

Saya ingin menegaskan ba­hawa amalan untuk nolle prosequi bukanlah sesuatu amalan yang luar biasa. Perkara ini telah diamalkan dalam kes-kes lain apabila mene­rima representasi daripada pihak peguam dan setelah me­nemui keterangan baru atau apabila kete­rangan menjadi lemah setelah diperiksa balas oleh pihak pembelaan. Berhubung kes terhadap Guan Eng dan Li Koon, terdapat bukti baru yang tidak dipertimbangkan sebelum ini.

Adalah perlu ditegaskan bahawa keputusan untuk memulakan atau mena­matkan pendakwaan meru­pakan satu kuasa dan budi bicara Pendakwa Raya. Dalam kes ini, saya telah merahsiakan keputusan saya sehingga ke saat akhir dan tidak merujuk kepada agensi penyiasatan kerana bimbang bahawa keputusan tersebut akan dibocorkan dan akan menyebabkan gangguan yang tidak diingini.

Bahkan, keputusan saya ini ada­­lah terlalu sulit dan saya sen­diri hanya memaklumkan kepada Peguam Negara pada jam 9:44 pagi semalam.

Saya ingin menegaskan bahawa saya membuat ke­putusan berhubung rep­resentasi tersebut tanpa sebarang pengaruh luar. Malahan, terdapat satu firma guaman yang mewakili pengadu telah menghantar surat yang membantah sebarang cadangan untuk menggugurkan pertuduhan terhadap Guan Eng dan Li Koon. Saya telah menjawab surat tersebut dengan mengatakan bahawa saya akan memutuskan kes tersebut berdasarkan bukti yang sedia ada dan berlandaskan undang-undang, yang mana telah saya lakukan, tanpa sebarang pilih kasih.

Keadilan adalah keuta­ma­an saya.