Dalam membicarakan kerjaya sebagai guru, mungkin banyak pihak di luar sana khususnya ibu bapa yang tidak mengetahui betapa beratnya bebanan kerja dipikul dalam usaha melahirkan anak-anak pelajar yang mampu memberi sumbangan kepada agama, bangsa dan negara.

Menyentuh tentang soal bebanan tugas guru, memang tidak boleh dinafikan tugas guru semakin hari semakin berat. Realiti yang berlaku, guru bukan sekadar mengajar malah terpaksa me­lakukan pelbagai tugas.

Selain mendidik, mereka juga melakukan kerja-kerja perkeranian, jurulatih sukan, guru kokurikulum, guru pengiring, warden dan guru disiplin. Itu belum termasuk tugas guru memasukkan data peribadi mereka sendiri untuk e-operasi dan e-pangkat se­perti mana dikehendaki oleh Kementerian Pendidikan.

Oleh itu usahlah dihairankan jika guru terpaksa mengorbankan waktu rehat mereka di rumah untuk membereskan segala tugas akademik yang tertangguh seperti menanda kerja sekolah pelajar, membina soalan ujian, menanda kertas ujian, menyemak kerja kursus pelajar dan menyiapkan Rancangan Pengajaran Harian (RHP).

Ada guru yang terpaksa bangkit tidur seawal 3 pagi atau tidur lewat pukul 2 pagi setiap hari semata-mata mahu menghabiskan tugas-tugas tersebut. Jika tidak, kerja-kerja itu tidak dapat disiapkan dan yang akan menjadi mangsa nanti sudah tentu para pelajar sendiri selain turut menjejaskan prestasi mereka.

Itu yang kadang-kadang ada sesetengah suami merungut kerana isterinya yang bertugas sebagai guru terlalu sibuk dengan tugas-tugas sekolah di rumah. Lebih parah lagi sehingga mengabaikan kebajikan suami dan anak-anak. Inilah yang berlaku dan penulis percaya ramai yang tidak menyedarinya.

Baru-baru ini, penulis bertemu dengan seorang rakan sesama universiti yang kini bertugas sebagai guru. Beliau telah mengajar selama 20 tahun. Kami berbual panjang terutama berkaitan dengan beban tugas guru.

Katanya, Kementerian Pendidikan perlu mencari jalan penyelesaian untuk mengurangkan beban tugas guru kerana masalah tersebut boleh dikatakan sema­kin kritikal dari semasa ke semasa lebih-lebih lagi melibatkan kerja-kerja perkeranian.

Sebagai contoh ujarnya, setiap guru kelas wajib melakukan kerja-kerja perkeranian apabila mereka dikehendaki mengisi rekod kehadiran murid dan pelbagai maklumat lain dalam Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) secara dalam talian setiap hari.

Walaupun nampak mudah tetapi kerja-kerja perkeranian seperti ini sebenarnya rumit, remeh dan membuang masa. Lagi bermasalah sekiranya talian internet di sekolah terganggu. Sudah tentu situasi itu boleh menyebabkan masa terbuang begitu sahaja.

Sepatutnya kata rakan penulis ini, kerja-kerja tersebut boleh dilakukan oleh kakitangan lain antaranya pembantu guru atau kerani seperti mana yang pernah dicadangkan sebelum ini.

Begitu juga dengan tugas sebagai guru kokurikulum. Setiap guru wajib memegang satu kelab dan satu badan beruniform. Ini juga antara tugas guru yang membebankan. Tidak terkecuali guru yang dilantik sebagai jurulatih sukan atau olahraga.