Bersempena sambutan Hari Malaysia esok, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, semua pihak perlu bersama mengenang perit jerih yang dilalui oleh nenek moyang dan pemimpin-pemimpin terdahulu dalam menjadikan Malaysia sebuah realiti.

Katanya, perjuangan untuk mengecapi kemerdekaan dan menegak demokrasi dinikmati tanpa pertumpahan darah dan ia merupakan kejayaan yang dapat dibanggakan oleh setiap rakyat Malaysia.

"Keindahan Malaysia sesungguhnya terletak pada rakyatnya.

"Marilah kita terus meraikan keharmonian dalam kepelbagaian ini," katanya dalam satu perutusan, di sini hari ini.

Tambahnya, lima dekad berlalu sejak tertubuhnya negara Malaysia hasil gabungan Persekutuan Malaya dengan Sarawak dan Borneo Utara yang kini Sabah.

Peristiwa bersejarah penyatuan tiga wilayah itu katanya, ditambah manis dengan ciri-ciri unik dimiliki oleh setiap wilayah.

"Perjalanan yang sudah kita lalui amat panjang namun masih banyak lagi kegemilangan yang Malaysia boleh gapai.

"Bersama kita kibarkan Jalur Gemilang dengan penuh kemegahan dan kebanggaan," katanya. - UTUSAN ONLINE