Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin bagaimanapun berkata, pihaknya tidak termakan hati dengan perbuatan sentor berkenaan kerana ia adalah hak mereka.

Malah, beliau menegaskan, ia tidak menjadi satu masalah kerana rang undang-undang itu bukanlah `keperluan mendesak’ seperti rang undang-undang lain yang melibatkan kewangan.

“Sudah tentu kami mahu memansuhkannya tetapi memandangkan mereka (senator) mahu melambatkan proses berkenaan, jadi itu terpulang kepada mereka.

“Saya hanya mahu memberi mesej kepada semua senator Barisan Nasional (BN) bahawa rakyat sedang melihat semua perkara ini, jadi berwaspadalah,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen, hari ini.

Hari ini, Dewan Negara Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 selepas hasil undi belah bahagian menunjukkan 28 ahli Dewan tidak menyokong manakala hanya 21 menyokong dan tiga lagi tidak mengundi.

Undi belah bahagian itu diusulkan Senator Khairul Azwan Harun dan perkara itu dipersetujui Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S.A Vigneswaran selepas usul berkenaan disokong lebih daripada lapan senator BN.

Dalam pada itu, Mohamed Hanipa berkata, usul pemansuhan rang undang-undang tersebut perlu dibawa kembali ke Dewan Rakyat dalam tempoh tidak kurang daripada setahun untuk kelulusan, sepertimana termaktub di bawah Perkara 68 Perlembagaan Persekutuan. - UTUSAN ONLINE