Titah baginda, umat Islam hendaklah mengamalkan ajaran Islam yang selari dengan akidah serta sahih dan syariat
yang berpaksikan kepada sunnah nabi.

Dalam masa sama, baginda juga menasihati semua rakyat Perlis supaya bersikap proaktif dan sentiasa merujuk kepada pihak berkuasa agama Islam sekiranya wujud sebarang persoalan dan kemusykilan dalam urusan hal ehwal agama Islam

“Janganlah terburu-buru melakukan sesuatu amalan atau berpegang kepada kepercayaan tertentu tanpa usul periksa sedangkan telah ada pelbagai undang-undang, fatwa dan garis panduan yang ditetapkan. 

“Mudah-mudahan, dengan fahaman dan amalan yang betul, kita dapat menjadi umat Islam yang lebih bertaqwa dan berjaya di dunia dan akhirat,” titah baginda selepas berkenan merasmikan Multaqa Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail 2018 di Dewan Warisan, di sini hari ini.

Berangkat sama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man; Mufti negeri, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Program kali kedua tersebut dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs); Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Sementara itu, sesuai dengan tema pengharmonian antara mazhab Fiqh berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah, baginda berharap segala salah tanggapan dan kekeliruan dalam perkara tersebut dapat dihapuskan. - UTUSAN ONLINE