Penasihat Geng Surau Putrajaya (GSP), Ahmad Dusuki Abdul Rani menegaskan, sekiranya pemimpin-pemimpin itu dipilih sekali lagi, Malaysia akan menuju kehancuran kerana mempunyai ketua yang menyokong budaya bertentangan norma-norma manusia.

“Kalau hendak jadi pemimpin, dia kena faham agama Islam itu sendiri memandangkan ia merupakan agama Persekutuan di Malaysia dan mempunyai peraturan, tetapi jika tidak faham, dia tidak layak jadi pemimpin.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana mengambil langkah sewajarnya untuk melarang dan menolak permit penganjuran kedua-dua acara tidak bermoral itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Perhimpunan Aman Membantah Penganjuran Parti Gay dan Arak di Surau Putra Al-Amin Presint 8 selepas solat Jumaat di sini hari ini.

Pada masa sama, penganjur perhimpunan, Azwan Aziz menggesa pihak-pihak yang masih ingin meneruskan acara-acara tidak bermoral itu agar mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa kerajaan tidak akan membenarkan penganjuran parti muzik gay, White Party BKK Warm Up yang dirancang diadakan di Rooftop Gtower, Kuala Lumpur pada 30 September ini.

Beliau merangkap Menteri Dalam Negeri berkata, acara itu bukan sahaja bertentangan dengan norma-norma manusia biasa tetapi boleh menjejaskan keharmonian rakyat dan membawa ancaman terhadap keamanan negara.

Selain program tidak bermoral itu, penganjuran pesta arak The Better Beer Festival 2017 yang dijadualkan berlangsung di Solaris Dutamas pada 6 dan 7 Oktober juga dilarang oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana dikhuatiri menjadi sasaran kumpulan pengganas.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum ini menolak permohonan penganjuran festival berkenaan sekali gus telah menimbulkan reaksi kurang senang segelintir pemimpin DAP termasuk beberapa ahli Parlimen parti itu yang meminta keputusan terbabit dikaji semula.