Wan Ahmad Fauzi

Ketua Lajnah Kajian Strategik Ittihad, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, ateisme perlu ditolak kerana fahaman itu adalah satu kepercayaan yang menyalahi ajaran agama dan hak yang diberikan kepada rakyat Malaysia di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Malah, katanya, kepercayaan ‘tidak bertuhan’ itu bukan sahaja bercanggah dengan prinsip moral bahkan satu ancaman kepada hidup beragama pada masa hadapan.

“Sehubungan itu, pihak kami menyeru semua organisasi yang selama ini dilihat memperjuangkan hak-hak kebebasan beragama untuk menyatakan pendirian mengikut kepercayaan agama ma­sing-masing,” katanya dalam satu ke­nyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Biro Undang-Undang (Kanun), Parti Ama­nah Negara (PAN) merangkap Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin, dalam kenyataannya berkata, ateisme perlu ditafsirkan sebagai agama kerana jika tidak berbuat demikian, golo­ngan ateis bebas menyebarkan fahaman mereka kepada umat Islam berikutan Perlembagaan hanya menghalang ‘penganut agama lain’ menyebarkan fahaman me­reka kepada orang Islam.

Dalam pada masa sama, Wan Ahmad Fauzi menegaskan, kerajaan perlu menyiasat aktiviti-aktiviti yang sejak mutakhir ini seolah-olah wujudnya niat bersama untuk menghakis ke­dudukan Islam se­bagai agama bagi Persekutuan dan ne­geri-negeri.

“Tindakan yang sa­ma juga perlu dibuat terhadap ke­nya­taan-kenyataan yang boleh me­nimbulkan kete­ga­ngan bagi pe­nga­nut Islam iaitu penduduk majoriti tanah air.

“Kedudukan Islam sebagai un­dang-undang dan agama watan warisan Kesultanan Melayu Melaka perlu dihormati dan diberi tafsiran menurut kerangka watan, iaitu sejarah perunda­ngan tanah air,” jelasnya.