Berita kematian pemimpin generasi pertama Singapura pada usia 92 tahun itu diumumkan Parti Tindakan Rak­yat (PAP) menerusi satu ke­nyataan yang dimuat naik melalui akaun Facebook mereka.

Dilahirkan pada 1924, Othman memulakan pendidikan awal di Radin Mas School sebelum melanjutkan pengajian ke Raffles Institution di Singapura.

Channel News Asia melapor­kan, Othman kemudian menyertai Utusan Melayu sebagai kerani sebelum ditawarkan jawatan wartawan kadet oleh Pengarang dan Pengarah Urusan Utusan Melayu ketika itu, Yusof Ishak.

Yusof yang juga pengasas bersama kepada syarikat pe­nerbitan akhbar berbahasa Melayu itu kemudian dilantik sebagai Presiden Singapura yang pertama.

Ketika bersama Utusan, Othman aktif dalam aktiviti-aktiviti kesatuan sebelum menyertai PAP beberapa hari selepas parti itu ditubuhkan pada 1954.

Othman kemudian berkhidmat dalam kerajaan selama 17 tahun selepas memenangi pilihan raya pertamanya pada 1963.

Dalam tempoh itu, Othman memegang jawatan sebagai Menteri Hal Ehwal Sosial Singa­pura selama 14 tahun ia­itu ketika era Perdana Menteri pertama, Lee Kuan Yew selain dilantik sebagai Duta Singapura ke Indonesia selepas bersara daripada politik pada 1980.

Pencetus kepada penubuhan Stadium Nasional dan beberapa masjid di Singapura itu juga pernah menerima pujian daripada mendiang Kuan Yew ke­rana prinsip yang dipegangnya.

Menurut Kuan Yew, Othman mempunyai jati diri yang sa­ngat tinggi ketika ketegangan memuncak antara Melayu Si­ngapura khususnya yang menyertai PAP dan UMNO di Malaysia pada 1964.

Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri (PMO) Singapura berkata, Perdana Menteri dan anggota Kabinetnya sedih mendapat berita tentang pemergian Othman dan me­nyampaikan ucapan setinggi takziah kepada keluarganya.

“Othman adalah seorang daripada yang menandata­ngani Perjanjian Perpisahan dan bapa pengasas Singapura. Beliau ada­lah anggota utama Kabinet Lee Kuan Yew, ketika tempoh kritikal semasa Singapura berada dalam Malaysia, dan kemudian berpisah dari Malaysia untuk menjadi sebuah republik merdeka,” katanya.

PMO memberitahu, kerajaan akan memberi penghormatan kepada Allahyarham dengan membawa jenazahnya di atas Pedati Meriam untuk perjalanan terakhir dari Masjid Sultan ke Pusara Abadi di Tanah Perkuburan Islam Choa Chu Kang esok. – AGENSI/BERNAMA