Pengurus Besar Kanan (Sistem Pembahagian) TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood, berkata anggota-anggota kerja teknikal TNB seramai 160 orang termasuk dari luar Pulau Pinang bertungkus-lumus bekerja tanpa henti untuk menyambung semula bekalan sejak Ahad lalu.

“Sehingga pukul 3 petang hari ini, sebanyak 38 buah set janakuasa bergerak (genset) telah dipasang di kawasan-kawasan yang dikenal pasti selamat dan strategik.

“Bagi kawasan-kawasan lain, bekalan elektrik akan disambung semula sebaik keadaan mengizinkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Wan Nazmy berkata, selain faktor akses ke pencawang elektrik (PE), pemasangan genset juga mengambil kira faktor keselamatan melibatkan pepasangan, warga kerja TNB serta para pengguna.

“Sementara itu atas faktor-faktor keselamatan terutama kepada para pengguna bekalan, 16 pencawang masih dihentitugas daripada 4,852 pencawang elektriknya di negeri terbabit.

“Kami berharap para pengguna yang masih belum mendapat bekalan elektrik dapat bersabar sementara anggota kerja kami terus berusaha memulihkan bekalan secepat mungkin,” katanya.

Menurutnya, bagi kawasan yang telah pulih apabila banjir telah surut namun bekalan elektrik masih tidak dapat dibekalkan kepada para pengguna, ini disebabkan TNB perlu melakukan kerja-kerja pembersihan di sub-sub stesen yang ditenggelami banjir sebelum ini.

“Mungkin di kawasan lain, air banjir telah surut atau kering tetapi didapati air banjir masih ada di sub-sub stesen dan kerja-kerja pembersihan dan pemeriksaan teliti perlu dilakukan sebelum bekalan elektrik dapat dibekalkan semula,” katanya. - UTUSAN ONLINE