Pengarah Urusannya, Datuk Shamsul Ahmad berkata, penajaan tersebut bagi kegunaan pelajar di 50 buah sekolah dalam kawasan daerah Manjung dekat sini.

Tambah Shamsul, tajaan selama tiga tahun bermula Mei ini sehingga Oktober 2019 melibatkan 15 buah sekolah rendah dan 35 buah sekolah menengah yang terletak di kawasan bandar dan luar bandar.

Menurut Shamsul, antaranya adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Manjung, SMK Ahmad Boestamam, Sekolah Kebangsaan (SK) Samudera, SK Simpang 4 dan SK Seri Manjung.

“Akhbar pendidikan Utusan Malaysia, Tutor semakin mendapat perhatian bukan sahaja dari sekolah-sekolah yang mementingkan kecemerlangan, malah syarikat-syarikat korporat bagi membantu pelajar menghadapi peperiksaan penting.

“Tambahan pula, Tutor mampu membantu pelajar membuat persediaan tambahan bersama pembelajaran formal daripada guru-guru di sekolah.

“Justeru, kami berharap sumbangan ini dapat memberi impak positif kepada para pelajar dan seterusnya menyumbang kepada kejayaan mereka dalam bidang pelajaran kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Daerah Manjung 2017 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Manjung, Suhaimi Ramli dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Datuk Rashidi Ibrahim.

Pada majlis tersebut, Shamsul turut menyerahkan replika tajaan Tutor kepada Suhaimi sambil disaksikan Penolong Pengurus Pemasaran Utusan Melayu (M) Berhad, Wilayah Utara, Ajani Basri.

Sementara itu, dalam ucapannya, Shamsul berkata, pihaknya sentiasa menyokong penuh sektor pendidikan dan akan cuba memberi bantuan sewajarnya berhubung setiap perkara yang diperlukan.

Menurut beliau, selain menaja akhbar Tutor untuk kegunaan pelajar, pihaknya turut menjadikan beberapa sekolah di Manjung sebagai sekolah angkat selain memberi latihan dalam aspek keselamatan kepada sekolah berdekatan.

“Banyak tanggungjawab yang perlu dipenuhi oleh warga pendidik dalam melahirkan insan berpendidikan tinggi dan ia memerlukan dedikasi yang tinggi daripada guru-guru.

“Malah, kemudahan teknologi yang semakin moden ketika ini menambahkan lagi beban dan cabaran yang perlu diatasi.

“Justeru, kami akan cuba membantu sedaya mungkin bagi memastikan sektor pendidikan negara terus unggul selaras dengan tema tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dibawa TNB selama ini iaitu menjana kecemerlangan dalam bidang pendidikan,” katanya.