Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) TNB itu memilih murid berusia tujuh hingga 12 tahun tanpa mengira latar belakang, agama dan bangsa itu menerima kelengkapan persalinan pakaian sekolah dengan kos RM200 seorang sempena pembukaan sesi persekolahan tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, program tersebut merupakan sebahagian CSR syarikat terbabit bagi memberi sumbangan dalam bidang pendidikan kepada keluarga yang kurang berkemampuan.

“Sekalung tahniah dan terima kasih kepada TNB kerana berbesar hati membantu mereka terutamanya daripada keluarga kurang berkemampuan serta diharapkan sumbangan seperti ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh penerima,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas ditemui selepas Program Kembali Ke Sekolah dan Penyerahan Berkelompok Program Baiti Jannati Negeri Johor 2018 di Perumahan TNB Kempas di sini hari ini.

Yang turut hadir, isteri, Datin Nora Mohd. Som yang juga Pengerusi Pertubuhan Amal Isteri Wakil-Wakil Rakyat Kerajaan Johor (Jasmine).

Dalam pada itu, Ketua Perkhidmatan Pelanggan TNB Johor, Datuk Baderul Sham Saad berkata, sumbangan berkenaan bertujuan meringankan beban ibu bapa terutama yang ramai anak.

“Besarlah harapan TNB agar bantuan ini dapat mendorong dan menyuntik semangat anak-anak supaya terus berusaha gigih untuk berjaya dalam pelajaran masing-masing.

“Ilmu adalah cahaya kehidupan selari dengan aspirasi TNB Untuk Malaysia yang lebih cerah,” katanya.