Baharin Din

Naib Presiden (Pembahagian) TNB, Datuk Baharin Din berkata, sebanyak dua buah rumah telah dibina pada 2014 dan 2015 di pe­ringkat Wilayah Persekutuan.

Katanya, mulai tahun lalu, konsep pelaksanaan PBJ di Wilayah Persekutuan disasarkan kepada golongan asnaf yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah pentadbiran Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) melibatkan seramai 25 orang penerima dengan kos berjumlah RM940,754.82.

“Pada 2017 pula, sebanyak 40 orang penerima yang layak dibantu melalui program ini.

“Seramai 38 penerima daripada mereka tinggal di PPR di bawah pentadbiran DBKL, manakala dua lagi penerima adalah melalui pembinaan rumah-rumah baharu di atas tanah milik sendiri di Gombak dan Keramat,” katanya ketika maj­lis penyerahan PBJ Peringkat Wilayah Persekutuan di bawah seliaan Pejabat Pengurus Besar TNB (Kuala Lumpur), di sini hari ini.

Projek Baiti Jannati atau Rumahku Syurgaku merupakan salah satu program Tanggungjawab Sosial Korporat TNB bagi menzahirkan saranan kerajaan supaya syarikat milik kerajaan (GLC) seperti TNB membantu kerajaan untuk membaiki rumah kediaman golongan sasaran yang memerlukan, antaranya orang kurang upaya, ibu tunggal, warga emas dan penduduk miskin.

Sementara itu di peringkat nasional, seramai 439 penerima mendapat manfaat daripada program tersebut sejak dilaksanakan pada 2007 melibatkan per­belanjaan sebanyak RM17.6 juta, tambah Baharin.

Ketika ditanya mengenai pe­nerima sumbangan di bawah PBJ, Fauziah Saidon, beliau berkata, bantuan telah diberikan sejak Di­sember 2016 bermula dengan tinjauan dan lawatan ke rumahnya dan pembinaan rumah baharu dimu­lakan pada pertengahan Mei 2017 yang mengambil masa kira-kira sebulan sete­ngah untuk disiapkan.

Jelasnya, rumah yang indah itu dilengkapi dua buah bilik tidur, ruang tamu yang selesa dan tandas yang lebih sempurna.

“Kehadiran dan hasrat murni TNB untuk membantu disambut baik oleh Fauziah dengan kesyu­kuran. Terimalah hasrat murni TNB ini dengan kesyukuran dan sentiasa bersabar dalam menjalani kehidupan seharian.

“Saya secara peribadi menyeru supaya Fauziah dapat menjaga kesihatan dengan baik serta meng­utamakan keselamatan diri. Semoga dengan adanya kediaman baharu yang lebih selesa, sempurna dan selamat ini, kehidupan sehariannya akan bertambah baik,” katanya.