Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi) TNB, Datuk Ir. Mohd. Aminuddin Mohd. Amin berkata, sebagai sebuah agensi yang membekalkan tenaga elektrik kepada negara, TNB juga memainkan peranan dalam me-ningkatkan penggunaan dan pemahaman umum mengenai teknologi hijau serta kepentingannya dalam jangka panjang.

Katanya, teknologi hijau semakin berkembang di negara-negara maju dan Malaysia turut tidak ketinggalan dalam memajukan sektor tersebut.

“TNB bukan sekadar sebuah agensi yang membekalkan elektrik untuk kegunaan harian masyarakat, tetapi juga bertindak sebagai perintis kepada penggunaan teknologi hijau.

“Sebagai contoh, TNB kini memperkenalkan beberapa produk berasaskan teknologi hijau termasuk Smart Home yang memudahkan pengguna mengawal penggunaan tenaga elektrik serta sistem kese-lamatan rumah menerusi aplikasi di telefon pintar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia di gerai pameran TNB sempena Persidangan dan Pameran Produk Teknologi Hijau dan Eko Antarabangsa (IGEM) 2015, di sini hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak me-rasmikan majlis pembukaan IGEM 2015 anjuran Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA).

Majlis itu turut dihadiri Pre-siden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Azman Mohd.; Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie dan Pengurus Besar (Komunikasi Korporat) TNB, Omar Sidek.

Mengulas lanjut, Mohd. Aminuddin menyatakan anak-anak syarikat TNB turut terlibat dalam pameran IGEM 2015 iaitu TNB Research Sdn. Bhd. dan TNB Energy Services Sd. Bhd.

Dalam pada itu, beliau membe-ritahu gerai pameran TNB di IGEM 2015 merupakan satu daripada inisiatif syarikat utiliti negara tersebut mendidik generasi Y mengenai kecekapan penggunaan tenaga dan teknologi hijau.

“Gerai pameran kami menampilkan konsep santai dengan edaran maklumat yang mudah difahami semua golongan termasuk pelajar.

“Antara produk dan maklumat terkini yang terdapat di gerai pameran TNB termasuk Smart Meter iaitu mengenai penggunaan dan pemasangan meter elektrik menggunakan teknologi baharu yang lebih praktikal dan mesra alam,” ujarnya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Nor’ain Faziana Abdul Aziz, 30 tahun, menyatakan pameran IGEM 2015 menjadi medan untuk menambah pengetahuan mengenai teknologi hijau dan kepentingannya kepada negara.

“Sebelum ini, saya kurang faham apa itu teknologi hijau dan selepas berkunjung ke IGEM 2015 dan gerai pameran TNB, kini saya mempunyai gambaran yang lebih mudah tentang teknologi tersebut,” jelasnya.

Seorang lagi pengunjung iaitu pelajar tingkatan satu di Institut Sains al-Quran Ash Shura (ASIQS), Luqman Haziq Abu Hassan, 13 berkata, bahan pameran yang didedahkan oleh TNB menarik minatnya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai teknologi hijau.

“Gerai pameran TNB menampilkan bentuk penyampaian maklumat yang mudah untuk difahami berserta bantuan kakitangannya yang mesra,” katanya.