Ketua keluarga berkenaan, Mohd. Razali Mat Salleh, 47, yang sebelum ini terpaksa menumpang tinggal di rumah pusaka bapanya sejak lebih 40 tahun melahirkan rasa lega kerana sempat berpindah ke rumah baharu yang lebih selesa hari ini.

Menurutnya, dengan mengharapkan pendapatan dari hasil kerja kampung pastinya dia tidak berkeupayaan untuk membina rumah sendiri dengan harga RM50, 000 sebuah sebagaimana ihsan yang diberikan oleh TNB.

"Hasil pendapatan bulanan yang tidak sampai RM400 membataskan saya untuk membina kediamanan sendiri sehingga terpilih sebagai asnaf yang bernasib baik menerima sumbangan dari TNB bagi Parlimen Pasir Puteh.

"Hasil pendapatan bulanan saya tidak tetap yang kadangkala hanya sekadar dalamnya lingkungan RM200. Namun saya terus berusaha dan mensyukuri nikmat Allah.

"Alhamdulillah dengan penerimaan ini ianya akan memberi keselesaan kepada kesemua anak yang masih dibangku sekolah rendah dan menengah untuk mengulang kaji pelajaran dalam keadaan yang lebih selesa berbanding sebelumnya," katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis kesyukuran Penyampaian Kunci Rumah Baiti Jannati yang disempurnakan Pengurus Besar TNB Kelantan, Datuk Ir Md. Yuslan Md. Yusoff di Kampung Tualang Rendah Baru, dekat sini, hari ini.

Sementara itu, Md. Yuslan ketika ditemui berkata, sebanyak 15 unit rumah disediakan untuk 15 asnaf seluruh Kelantan menerusi agihan wang zakat perniagaan TNB sebanyak RM50,000 untuk setiap kos pembinaan rumah yang disiapkan Sepenuhnya.

Menurutnya, sebanyak RM750,000 disediakan untuk tujuan berkenaan dan keluarga Mohd. Razali adalah penerima pertama rumah yang berjaya disiapkan sebelum Aidilfitri manakala 14 lagi masih dalaman proses pembinaan. - UTUSAN ONLINE