Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, usa­­ha dan kerjasama yang diberikan sektor korporat untuk pemba­ngunan sukan negara diyakini mampu menjulang nama Malaysia dalam bidang sukan, sekali gus membantu pasukan negara mencipta identiti dan nama.

“Sokongan yang diberikan oleh TNB adalah satu contoh terbaik dan kita mengharapkan TNB dapat terus memberi soko­ngan padu demi pemba­ngunkan sukan hoki negara.

“Kita sememang­nya memerlukan pro­gram pembangunan sukan seperti yang diusahakan oleh TNB supaya Malaysia mempunyai pasukan bertaraf dunia dan mengekalkan kecemerlangan itu hingga tahun-tahun mendatang de­mi generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Tajaan Korporat TNB selaku penaja emas bagi Temasya Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 (Kuala Lumpur 2017), di sini baru-baru ini.

TNB telah bekerjasama de­ngan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) untuk menaja kejohanan dan pertandingan hoki sama ada di peringkat liga kebangsaan, negeri dan lain-lain.

TNB juga telah membangunkan program hoki TNB Thunderbolt yang dimulakan pada 2006 di sekolah-sekolah terpilih dan kini empat buah sekolah ang­kat TNB yang berada di bawah program tersebut telah meme­nuhi keempat-empat slot dalam perlawanan separuh akhir kejohanan TNB-Liga Hoki Remaja yang lalu.

Khairy berkata, pencapaian yang ditonjolkan pasukan hoki negara amat membanggakan ke­rana berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 secara merit bukannya secara teknikal.

Beliau berkata, cabaran selepas ini bukan sekadar Sukan SEA 2017 tetapi lebih utama adalah Sukan Asia kerana pe­menang pingat emas akan mendapat kelayakan automatik ke Sukan Olimpik di Tokyo pada 2020.

“Saya mahu melihat mereka bermain bukan sahaja dalam Piala Dunia, tetapi juga Sukan Olimpik dan sekali gus mengembalikan kegemilangan sukan hoki negara,” katanya.

Malaysia berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 setelah menewaskan juara Asia, India 3-2 dalam Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London, baru-baru ini.

Lebih membanggakan, Malaysia sebenarnya meraikan kejayaan berganda kerana bukan sahaja dapat melayakkan diri ke Piala Dunia 2018, tetapi salah seorang pemainnya yang juga kakitangan TNB, S. Kumar dipilih sebagai penjaga gol terbaik di kejohanan tersebut.

Dalam meraikan kejayaan itu, pasukan Malaysia tidak boleh leka, malah mereka perlu kembali membuat persiapan rapi bagi menghadapi Sukan Asia untuk melayakkan diri ke Sukan Olim­pik Tokyo 2020.

Kali terakhir Malaysia me­layak­kan diri ke Sukan Olimpik adalah pada 2000 di Sydney, Australia.