Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, apa jua pembangunan yang dilakukan dalam mengejar kemodenan negara, keunikan budaya setiap kaum wajar dipelihara kerana itu adalah identiti Malaysia.

“Namun, ada beberapa cabaran perlu difikirkan dan setiap daripada kita harus berusaha untuk mencari titik persamaan yang membolehkan kemesraan ini diraikan tidak kira apa jua kaum di negara ini.

“Kita mahu terus menjadikan negara berbilang kaum dan agama seperti yang ada hari ini. Pada masa sama juga kita mahu menjadi sebuah negara satu bangsa iaitu bangsa Malaysia pada masa hadapan,” katanya dalam sesi Dialog TN50 Bersama Belia India anjuran Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) India di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam ini.

Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan serta Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan.

Khairy berkata, dialog kali ini adalah antara yang terbaik dalam mengumpul aspirasi daripada generasi muda mengenai apa yang mereka mahukan untuk negara menjelang 2050.

Menurutnya, sebanyak 65 aspirasi dikongsi oleh belia India dalam sesi dialog tersebut dan mungkin sesi dialog yang sama akan diadakan di peringkat negeri dan kawasan pedalaman.

“Ini penting dalam memastikan suara kaum India daripada pelbagai peringkat terus didengari dan aspirasi mereka juga penting dalam membentuk negara mengikut apa yang mereka inginkan,” katanya. - UTUSAN ONLINE