Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, aspirasi ber­kenaan telah diteliti dengan sempurna termasuk isu keselamatan atas talian dan akan dilancarkan dalam masa terdekat dengan inisiatif bersama pihak swasta atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Sebenarnya banyak lagi aspirasi yang pihak kementerian kita kenal pasti namun perlu halusi sebelum diketengahkan.

“Dengan kerjasama erat yang terjalin antara GLC dan swasta kita boleh merealisasikan aspirasi masa hadapan ini sebelum TN50 dilancarkan pada September ini,” katanya dalam sidang akbar selepas melancarkan program Ke­sedaran Keselamatan Atas Talian hasil kerjasama dengan Celcom Axiata Berhad di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad, Michael Kuehner dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi Perniagaan Celcom Axiata Berhad, Azwan Khan Osman Khan.

Dalam masa sama, Khairy berkata, program berkenaan yang dilancarkan syarikat perkhidmatan te­lekomunikasi itu merupakan antara aspirasi TN50 yang pertama dilaksanakan kerajaan dengan kerjasama syarikat korporat di negara ini.

Katanya, inisiatif yang dilakukan Celcom adalah contoh idea-idea yang dijanakan melalui dialog TN50 yang telah dilaksanakan sejak tahun lepas dan tidak perlu tunggu sehingga dasar TN50 dilancarkan. Celcom adalah contoh sebagai organisasi korporat yang merealisasikan perkara ini.

“Inisiatif ini sangat penting bagi mewujudkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa menyediakan ‘ruang permainan’ digital selamat untuk anak mereka selain dapat menangani kadar jenayah siber yang berbahaya.

Sementara itu, Azwan Khan berkata, pihak terus komited dalam membawa mesej kesedaran tentang keselamatan atas talian dalam kalangan semua rakyat di negara ini sejajar aspirasi TN50.