Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, ini supaya apabila langkah strategik tersebut menjadi kenyataan pada 2050, ia merupakan hasil kerjasama antara kerajaan dan rakyat.

“Ilham TN50 ini adalah amat baik kerana ia sebenarnya untuk anak muda pada hari ini terutamanya mereka yang akan keluar dan menamatkan pengajian di menara gading.

“Jadi saya dari pihak Pergerakan Wanita UMNO ingin mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana mengolah satu transformasi yang amat baik sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pertandingan Akhir Kategori Utama dan Majlis Penutup Debat Terbuka Astar Universiti Malaya (UM) di sini malam ini.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UM, Prof. Datuk Dr. Rohana Yusof.

Program Debat Terbuka Astar UM kali ke-20 itu disertai oleh 26 institusi pengajian tinggi awam dan swasta dan johan kategori utama telah dimenangi oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Sementara itu, Shahrizat yang juga Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Iktisas Wanita Jabatan Perdana Menteri berkata, program seperti debat terbabit adalah peluang terbaik kepada anak muda bersaing dalam pengucapan awam.

“Ini merupakan pendedahan yang diperlukan kepada anak-anak muda yang berminat untuk menjadi pemimpin pada masa hadapan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE