Dalam satu hantaran terbaharu di Facebook, Tunku Ismail berkata, beliau telah mendapat pesanan dari seorang pegawai kerajaan bahawa ramai wira siber telah diletakkan dalam Facebook rasmi beliau dan Sultan Ibrahim.

“Adalah sangat tidak baik apabila ada pegawai yang telah menyampaikan pesan bahawa saya dan ayahanda saya, DYMM Sultan Johor sedang diperhatikan.

“Ramai juga ‘cybertroopers’ diletakkan pada laman sosial JDT serta laman peribadi kami seperti Official Sultan Ibrahim dan HRH Crown Prince of Johor atas perasaan kurang senang oleh beberapa pihak atasan,” kata Tunku Ismail di dalam Facebook rasmi baginda malam tadi.

Menurut Tunku Ismail, beliau baru-baru ini turut dihampiri oleh seorang individu untuk membeli peralatan teknologi Israel yang digunakan untuk pengintipan serta mengumpul data. Peralatan tersebut didakwa turut dimiliki kerajaan terdahulu yang masih digunakan kini.

Tegas Tunku Ismail, peralatan tersebut tidak sepatutnya diseleweng oleh mana-mana pihak untuk kepentingan sendiri.

Menurut Tunku Ismail, beliau tidak akan berdiam diri jika ada parti yang ingin mengambil kesempatan memecahbelahkan perpaduan bangsa Johor yang unik.

Dalam kenyataan tersebut, Tunku Ismail turut menjelaskan tidak mempunyai apa-apa masalah dengan kerajaan dan Johor sentiasa menyokong penuh kerajaan yang memerintah.

 

“Dengan itu, kami akan menyokong segala keputusan yang betul. Namun kami juga tidak akan berdiam diri apabila berlaku keputusan yang salah.

“Akhir kata, satu-satunya perkara yang rakyat mahukan adalah kerajaan mengutamakan kemajuan, bukannya bertelagah di dalam negara. Saya berdoa semoga kerajaan menepati janji janji kepada rakyat. Allah Peliharakan Sultan,” kata Tunku Ismail. - UTUSAN ONLINE