Menerusi status terbaharu dalam akaun Twitter milik baginda, putera sulung Sultan Johor itu mempersoalkan kenyata­an Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A. Xavier Jayakumar yang seolah-olah mengganggu Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

‘‘Pernah mendengar me­ngenai enakmen negeri? Mana ada surat atau menteri yang boleh masuk campur Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

‘‘Tanah, agama dan air adalah kuasa di peringkat negeri. Kenyataan akhbar ini adalah jenaka. Terima kasih,” titah baginda merujuk kepada ke­nyataan Xavier yang mahu status Pulau Kukup dikekalkan semalam.

Terdahulu, Xavier dalam kenyataannya berkata, Kabinet yang bermesyuarat kelmarin berpandangan status Pulau Kukup di Johor perlu dikekalkan sebagai pulau paya bakau tidak berpenghuni ke­dua terbesar di dunia dan satu-satunya di perairan Johor.

Bagaimanapun, Tunku Ismail sebelum ini bertitah, Pulau Kukup akan diubah status menjadi tanah kesultanan bagi memastikan kawasan itu lebih terjaga dan dilindungi selepas statusnya diubah.

Sebelum ini, satu salinan Warta Kerajaan Johor berhubung pembatalan perizaban Pulau Kukup sebagai Taman Negara bertarikh 24 September lalu mula tersebar dalam laman sosial dan mendapat perhatian ramai pihak.

Menurut Warta Kerajaan Johor itu, pembatalan keseluruhan kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan Taman Negara Pulau Kukup berdasarkan kuasa diberi mengikut Subseksyen 3 (3) Enakmen Perbadanan Taman Negara Johor (1989).