Menurut Pengurus Besar Negeri TM Melaka, Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan, usaha itu bertepatan dengan visi syarikat iaitu ‘Menjadikan Hidup dan Perniagaan Lebih Mudah, demi Kesejahteraan Malaysia’.

“Sejumlah 1,000 lampu kalimantang telah diserahkan kepada keluarga yang memerlukan di Kampung Gangsa, Durian Tunggal di sini. TM Melaka telah berjaya mengunpul sejumlah 3,000 lampu kalimantang untuk disumbangkan kepada golongan yang memerlukan (seluruh negeri).

“Semua lampu kalimantang berkenaan telah dikumpulkan hasil aktiviti penaiktarafan sistem pencahayaan di bangunan Menara TM Melaka yang melibatkan penggantian lampu kalimantang kepada lampu LED ke arah penggunaan tenaga yang lebih efisien,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam satu program penyerahan lampu kalimantang kepada penduduk di Kampung Gangsa, Durian Tunggal dekat sini, sebentar tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Mohd. Sofi Abdul Wahab turut hadir bagi menyerahkan lampu kalimantang berkenaan.

Sementara itu, seorang penduduk yang menerima sumbangan berkenaan, Akob Md. Derus, 46, memberitahu, dia berasa gembira kerana bukan sahaja mendapat lampu baharu, pada masa sama dikunjungi Mohd. Sofi dan pihak TM.

“Terima kasih kepada TM kerana sudi memberi sumbangan kepada saya sekeluarga. Sebelum ini lampu di rumah kerap rosak dan perlu dibaiki, tetapi kini kami sudah dapat lampu yang baharu,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE