Datuk Nor Hasnal Hashmi, 49 dan Sayyid Walid Hasuana, 31, masing-masing mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan memperdayakan sembilan individu supaya mempercayai mereka memindah milik lot-lot tanah itu bagi pembinaan sembilan kediaman kepada mangsa.

Perbuatan itu mendorong semua individu terbabit menye­rah­kan wang berjumlah RM637,500 kepada syarikat Masgenuine Alliance Holdings Sdn. Bhd. sebagai pembayaran kos pindah milik tanah yang tidak wujud.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di syarikat itu di Jalan Lagenda Suria 3, Taman Lagenda Suria, Hulu Langat dekat sini antara Oktober 2012 dan September 2014.

Kedua-duanya yang merupakan bekas pengarah syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Noor Hafizan Zakaria mencadang­kan jaminan RM150,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes terhadap kedua-dua tertuduh selesai.

Peguam Zainal Omar yang mewakili Nor Hasnal bagaimanapun memohon jaminan munasabah disebabkan anak guamnya mempunyai 10 orang anak dan tujuh daripadanya masih bersekolah.

“Anak guam saya juga sudah diisytiharkan muflis pada Januari lalu dan ini menjejaskan pendapatannya keluarganya,” katanya.

Peguam Ahmad Zaharil Muhaiyar yang mewakili Sayyid Walid memohon mahkamah meletakkan syarat munasabah misal­nya anak guamnya boleh berada di luar rumah antara pukul 7 pagi dan 7 malam.

Mahkamah membenarkan ke­dua-dua tertuduh diikat jamin RM80,000 dengan seorang penjamin serta pasport diserahkan ke mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 10 Mei ini bagi sebutan semula kes.

Pada Khamis minggu lalu, Nor Hasnal dan Sayyid Walid bersama seorang lagi lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang, atas sembilan pertuduhan melibatkan kesalahan serupa membabitkan kerugian RM700,000 enam tahun lalu.