LIOW TIONG LAI
LIOW TIONG LAI

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kementerian akan menjemput kesemua waris untuk diberi taklimat dan maklumat berhubung perkembangan terkini insiden MH17 di Hotel Marriot Putrajaya di sini.

“Saya sendiri akan berbincang dan memberi taklimat kepada mereka, “ katanya kepada media selepas merasmikan Renesas Electronics Kuala Lumpur Global Parts Distribution Centre di sini hari ini.

Malaysia dan negara Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) iaitu Belanda, Belgium, Ukraine dan Australia bersetuju agar pendakwaan nasional terhadap mereka yang bertanggungjawab menyebabkan MH17 ditembak jatuh dilakukan di Belanda.

Liow berkata negara-negara terlibat yakin terhadap pelaksanaan undang-undang di Belanda mampu beri keadilan kepada kesemua mangsa tanpa perlu melibatkan mahkamah antarabangsa.

Kesemua lima negara telah pun bersedia dari segi mahkamah dan kemudahan untuk mendakwa penjenayah ini,” katanya.

Liow berkata proses siasatan kini tertumpu kepada 100 orang suspek dan siasatan penuh dijangka selesai pada awal tahun depan sebelum proses pendakwaan dimulakan.

Katanya pada proses pendakwaan tersebut, Malaysia akan diwakili Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

“Ini merupakan tragedi yang tidak boleh dilupakan negara kita apabila sebuah pesawat sivil ditembak jatuh dan kita memerlukan keadilan dan perlu membawa mereka yang terlibat ke mahkamah... sebab itu kerajaan Malaysia bertungkus lumus untuk membawa penjenayah ke mahkamah,” katanya.

Pesawat Boeing B777 itu yangdalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan membawa 298 penumpang termasuk anak kapal, ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai, 2014. - BERNAMA