Penasihat Sosio Budaya kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, pertubuhan atau persatuan seni silat perlu memainkan peranan dengan memberi pendedahan agar generasi muda memahami kelebihan seni tersebut.

“Jangan salahkan mereka kerana tidak menyertai seni persilatan Melayu, mungkin persepsi mereka atau badan-badan seni silat kita belum mengadakan promosi yang secukupnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam majlis Perkhataman Seni Senjata Tradisional Seni Tombak dan Lembing Persatuan Seni Silat Gayung Malaysia (PSSGM) di Kuala Klawang, di sini hari ini.

Yang turut hadir Yang Dipertua PSSGM, Datuk Hanif Koslan dan Yang Dipertua PSSGM negeri, Datuk Ishak Hassan.

Rais berkata, seni silat bukan sahaja mengajar ahlinya untuk mempertahankan diri tetapi juga membina satu masyarakat yang mempunyai ketahanan jati diri, disiplin dan pembentukan sahsiah yang tinggi. - UTUSAN ONLINE