Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu amat pen­ting kerana sistem pengurusan air di­lihat sebagai isu dinamik, yang mana sumber air menjadi asas kepada kesejahteraan rakyat dan hanya boleh diperbaharui jika diuruskan secara baik.

Malah, menurut beliau, penggunaan teknologi mampu memperbaiki kelemahan yang terdapat dalam sistem pengurusan air itu sekali gus mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap masalah tersebut.

‘‘Kita harus mengurus sumber itu (air) secara bijak dan efisien. Kita juga perlu menjadi lebih inovatif.

“Ini kerana pengurusan sumber itu terutamanya membabitkan isu kekurangan air akibat pengurusan yang lemah telah dikenal pasti oleh industri, kerajaan, ahli akademik dan masyarakat sivil sebagai antara tiga risiko global yang amat membimbangkan,’’ katanya ketika berucap dalam Kongres Sedunia Persatuan Penyelidikan dan Kejuruteraan Alam Sekitar Hidro Antarabangsa (IAHR) Ke-37 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan timbalannya, Datuk Ir. Hamim Samuri.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pengurusan Sumber Air Negara berkata, beberapa kajian turut menunjukkan sistem pengurusan air yang bijak merupakan prasyarat kepada pembangunan sumber air yang lestari.

Dalam pada itu, beliau berkata, sumber air menjadi salah satu cabaran terbesar bagi pembangunan mapan pada masa akan datang kerana kesannya akan dapat dirasai secara menyeluruh dari segi ekonomi, alam sekitar dan sosial.

“Di peringkat global, permintaan bagi sumber air akan meningkat kepada 55 peratus menjelang 2050. Jadi, apa akan terjadi sekiranya bekalan tidak mencukupi dan tidak dapat memenuhi permintaan tersebut?” katanya.

Ahmad Zahid memberitahu, isu itu boleh mencetuskan persaingan dan perebutan untuk mendapatkan sumber air antara negeri, negara dalam rantau atau benua yang sama dan antara benua.

“Krisis air bukannya rekaan semata-mata tetapi merupakan fenomena global yang sebenar. Kita dalam era yang mana kebanyakan saintis berpandangan ‘peperangan masa depan’ akan melibatkan sumber air,” jelasnya.