Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Douglas Uggah Embas berkata, para peserta dapat beroperasi dengan modal yang minimum di samping memperluaskan radius kawasan operasi perkhidmatan yang disediakan.

“Lebih daripada itu, program ini dilihat berpotensi untuk mengembangkan nilai dan bakat keusahawanan di luar bandar kepada kumpulan sasar dan sekali gus mempercepatkan transformasi ekonomi luar bandar.

“Program ini juga boleh dijadikan satu asas pendorong kepada masyarakat luar bandar yang memiliki kemahiran dan pengalaman menggunakan peluang ini untuk menjadikan usahawan bergerak sebagai satu kerjaya berpotensi untuk tingkat taraf hidup mereka,” katanya ketika merasmikan Majlis Pe­nyerahan Mobileprenuer Sarawak 2016 di Auditorium Tun Ahmad Zaidi Adruce, Institut Perguruan Batu Lintang, di sini semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) kementerian, Datuk Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus dan Ke­tua Pegawai Operasi Felcra Berhad (Felcra), Zainal Abidin Shariff.

Douglas berkata, program mobilepreneur juga dilihat sebagai salah satu langkah terbaik bagi memberi peluang keusahawanan berkembang dan akan mencetus pusingan ekonomi memberangsangkan di luar ban­dar secara berterusan.

“Ini akan memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat meliputi golongan miskin dan berpendapatan rendah serta golongan yang mempunyai kemahiran berkecenderungan untuk meluaskan kerjaya keusahawanan.

“Keseluruhannya, program ini mempunyai matlamat untuk mewujudkan lebih ramai usahawan bergerak KKLW yang aktif secara tidak langsung mengurangi kadar pengangguran di luar bandar,” jelasnya.

Douglas berkata, mobilepreneur mempunyai potensi tersendiri dari segi konsep dan pelaksanaannya kerana bersesuai­an dengan keperluan semasa ma­syarakat.

“Ia meningkatkan peluang keusahawanan berkembang sebagai kerjaya dan sumber mening­katkan pendapatan luar bandar. Bakal pelanggan juga tidak perlu ke kedai bagi mendapatkan perkhidmatan yang diingini.

“Perkhidmatan bergerak ditawarkan memberi ruang kepada pelanggan mendapatkan perkhidmatan tanpa perlu mengorbankan masa dan tenaga,” katanya.

Sehubungan itu, Douglas meminta agar usahawan mobilepreneur perlu berfikiran kreatif dan inovatif dalam menggunakan media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter bagi memasarkan produk atau perkhidmatan mereka.

“Kejayaan seseorang individu terletak kepada usaha dan tenaga yang dicurahkan mereka. Bukan semua rezeki akan datang bergolek sebaliknya ia datang daripada usaha keras tanpa mengenal erti jemu dan kegagalan.

“Oleh itu, mereka perlu bersedia membuat per­ubahan dari segi sikap, mentaliti dan tindakan bagi mengapai kejayaan. Sikap suka berusaha, rajin bekerja dan tidak mengenal putus asa perlu ditanamkan dalam diri masing-masing,” ujarnya.

Beliau juga me­ng­ingatkan peserta mobilepreneur agar tidak menyalahgunakan per­alatan yang diberikan sebaliknya menggunakan kemudahan itu sebaik­nya.

“Sekiranya ada sebarang ma­salah mengenai perkhidmatan segeralah mendapat bantuan dan nasihat,” katanya.