Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, transformasi berkenaan mempunyai empat strategi merangkumi pemantapan kemahiran modal insan dalam kalangan masyarakat luar bandar dan peningkatan profesionalisme tenaga pengajar Kemas.

“Strategi pertama adalah kursus jangka pendek Quick Win diikuti strategi kedua iaitu meningkatkan sijil kemahiran dikeluarkan Kemas berasaskan keusahawanan dalam talian dan mewujudkan tenaga pe­ngajar yang diiktiraf.

“Matlamatnya adalah meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar yang mana di bawah transformasi luar bandar, kita bukan sahaja mahu masyarakat berkenaan terlibat dalam ekonomi secara tradisional tetapi lebih kepada program keusahawan seperti memproses bahan makanan dan lain-lain.

“Pada tahun ini, kita menyasarkan seramai 3,000 masyarakat luar bandar dilatih dalam Transformasi Pendidikan Kemahiran KEMAS yang dilancarkan hari ini,” katanya selepas me­rasmikan Karnival Kemas4U Semarak Desa dan pelancaran Transformasi Pendidikan Kemahiran Kemas di Laman Kerayong di sini, hari ini.

Yang hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Mohd. Arif Abdul Rahman dan Ketua Pengarah Kemas, Amiruddin Ariffin.

Menurut Ismail Sabri, menerusi transformasi berkenaan, pihaknya memberikan latihan, kursus, bim­bingan dan bantuan secara percuma kepada masyarakat luar bandar dalam usaha mewujudkan lebih ramai modal insan berkemahiran.

Katanya, semua masyarakat luar bandar yang berusia antara 18 tahun hingga 50 tahun layak membuat permohonan bagi mengikuti pelbagai program dan kursus dalam transformasi tersebut.

Mengulas lanjut, beliau berkata, melalui strategi pertama iaitu kursus kemahiran jangka pendek, sebanyak enam bidang kemahiran diberi tumpuan iaitu jahitan, masakan, dandanan diri, pendidikan kesejahteraan keluarga, seni tangan dan literasi komputer.

“Menerusi program itu, kursus pendek dan bimbingan percuma serta peralatan diberikan yang membolehkan pelatih memulakan perniagaan dengan segera,” ujar beliau.

Bagi strategi kedua pula, katanya, KEMAS akan meningkatkan taraf sijil kemahiran iaitu kepada Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1-3 yang dikeluarkan kepada pelatih selain mereka diberi peluang me­lanjutkan pelajaran hingga ke pe­ringkat Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Tambahnya, dalam berdepan de­ngan ledakan teknologi maklumat, pihaknya akan mendedahkan kemahiran berasaskan keusahawan dalam talian kepada pelatih bagi memboleh­kan mereka meraih peluang perniagaan melalui strategi ketiga.

“Melalui strategi keempat pula, kita akan memastikan tenaga pe­ngajar kemahiran Kemas diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran Kementerian Sumber Manusia,” katanya.