Najib berkata, ini kerana penjanaan kekayaan pada masa ini tidak hanya boleh diukur dari segi pemilikan unit saham semata-mata tetapi ia juga turut melibatkan pemilikan hartanah.

“Kita tidak hanya mempu­nyai hak milik tanah di kawasan luar bandar, pekan kecil atau di pinggir bandar tetapi mesti juga memiliki hartanah yang kukuh di tengah bandar utama agar dapat merasai pulangan yang lebih tinggi.

“Hartanah inilah aset yang seharusnya dikuasai oleh bumiputera,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran unit tambahan Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Pengerusi Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), Tan Sri Md. Nor Md. Yusof dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Datuk Kamalul Arifin Othman.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan berpendirian bahawa kekayaan mestilah diagihkan secara adil di negara ini supaya tidak ada kumpulan yang merasa terpinggir daripada arus pemba­ngunan negara.

“PHB dan skim AHB adalah salah satu daripada agenda bumiputera yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk memberi peluang kepada golongan ini supaya dapat turut serta melabur dan mengambil bahagian dalam pemilikan hartanah komersial di Malaysia melalui pegangan unit yang disediakan oleh AHB.

“Ia semestinya membuka peluang kepada golongan bumiputera untuk berkongsi pemilikan ke atas aset-aset ini sejajar dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan penyertaan bumiputera dalam sektor hartanah komersial ini,”ujarnya.

Dalam pada itu, pada majlis berkenaan, Najib turut mengumumkan penambahan unit dana AHB sebanyak 500 juta unit.

Menurut Najib, enam tahun yang lepas iaitu pada 2010, beliau sendiri telah merasmikan dana asal AHB sebanyak satu bilion unit dan saiz tersebut telah ditingkatkan sebanyak dua kali pada tahun 2012 dan 2013 lalu menjadikan jumlah keseluruhan dana AHB pada masa itu sebanyak dua bilion unit.

“Tahun lepas pula, sebanyak 1.5 bilion unit lagi dilancarkan malah saya difahamkan unit-unit ini telah habis dilanggan dalam tempoh kurang dari setahun.

“Dengan sambutan yang amat menggalakkan terhadap unit-unit amanah ini, saya dengan sukacitanya ingin mengumumkan bahawa saiz dana AHB ditingkatkan sebanyak 500 juta unit lagi untuk menjadikan saiz dana AHB mening­kat kepada empat bilion unit atau bersamaan RM4 bilion,” katanya.

Sementara itu, Najib yang juga Pengerusi Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera (YAHB) berkata, bagi menggalakkan lagi penyertaan pelabur-pelabur muda dalam AHB, pihak YAHB telah bersetuju untuk memberi insentif 50 unit percuma untuk setiap Akaun Remaja yang dibuka kepada 200,000 Akaun Remaja baharu yang pertama bermula pada Isnin depan (2 Oktober).