Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, meskipun hasil analisis Kementerian Kesihatan terhadap susu rumusan bayi yang dirampas di negeri ini mendapati produk tersebut selamat digunakan, namun langkah pencegahan perlu dijalankan secara berterusan.

Beliau berkata, pada masa sama, pembekal dan pengedar susu rumusan bayi juga perlu bertanggungjawab bagi memastikan produk yang dibekalkan di pasar raya dan kedai runcit adalah asli.

“Kita bernasib baik kerana susu rumusan bayi yang dirampas baru-baru ini adalah selamat, namun itu bukanlah satu lesen bagi membenarkannya dijual kepada pengguna.

“Justeru, saya gesa KPDNKK supaya kerap melakukan operasi dan pemantauan dengan kerjasama Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan negeri bagi memastikan produk yang dipasarkan kepada pengguna adalah terjamin, bermutu dan asli,” katanya selepas merasmikan majlis konvokesyen Ambitious Academy kali pertama di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Eskekutif Ambitious Academy, Chin Wei Choong dan Principal Ambitious Academy, Rosmadiah Sulaiman.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah memberitahu, hasil analisis yang dijalankan Makmal Ke­selamatan dan Kualiti Makanan dan Jabatan Kimia mendapati produk tersebut adalah selamat.

Walau bagaimanapun, produk itu tidak mencapai standard kualiti yang ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Makanan 1985 mengikut Akta Makanan 1983 dari segi kandungan lemak.

Pada 10 Disember lalu, PPDNKK negeri merampas 210 kotak susu rumusan bayi bernilai RM42,000 yang disyaki tiruan di lima lokasi berbeza di Johor Bahru.

Dalam pada itu, Ayub me­minta orang ramai agar terus me­nyalurkan maklumat dan membuat laporan sekiranya terdapat lagi kes susu rumusan bayi tiruan dalam pasaran.