Senator Datin Rahimah Mahamad berkata, langkah itu perlu dilaksanakan dengan segera berikutan kerajaan Thailand telah memasang sebanyak 800 buah kamera litar tertutup (CCTV) di sepanjang Sungai Golok bagi membendung aktiviti jenayah dan militan.

“Saya difahamkan kumpulan militan dari negara jiran kerap mengebom pekan Golok di Selatan Thailand, justeru kementerian perlu menguatkuasakan kawalan keselamatan sempadan termasuk meningkatkan pemantauan oleh Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem).

“Agensi penguat kuasa terlibat perlu lebih proaktif dalam mengenal pasti lubang tikus di sempadan ke­dua-dua belah negara kerana laluan ini dipercayai kerap berlakunya aktiviti jenayah rentas sempadan,” katanya.

Rahimah membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Menurut Rahimah, beliau menyedari keadaan geografi sempadan negara khususnya di kawasan Kelantan memberi cabaran kepada pasukan penguat kuasa negara untuk memantau pergerakan keluar masuk dari kedua-dua belah negara.

Justeru katanya, kawalan penguatkuasaan yang lebih ketat perlu dilakukan terhadap warga dan pelancong asing yang melalui sempadan negara di Kelantan bagi mencegah berlakunya aktiviti jenayah.

Semalam, Komander Aksem Kedah, Abdul Latif Abd. Rahman mendedahkan, trend remaja termasuk penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) membawa dadah sintetik dipercayai untuk berhibur di pekan kecil Danok, Selatan Thailand adalah membimbangkan.

Menurut Abdul Latif, berdasarkan statistik yang direkodkan mendapati 99 peratus rampasan berkaitan dadah dilakukan oleh remaja seawal usia 19 hingga 30 tahun. - UTUSAN ONLINE