Pengerusi MARA, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, berdasarkan statistik daripada Persa­tuan Pendandan Rambut Malaysia (MHA), sehingga Disember tahun lalu terdapat kira-kira 40,000 orang tukang gunting rambut di seluruh negara. Namun katanya, daripada jumlah tersebut hanya 20 peratus merupakan tukang gun­ting rambut bumiputera.

“Industri gunting rambut di negara ini memiliki pasaran yang luas dan sedang berkembang pesat dan pendapatan yang dijana daripadanya mencecah kira-kira RM10 bilion merangkumi bidang potong dan penggayaan rambut, jualan peralatan dan produk rambut.

“Di sini jelas menunjukkan industri ini mempunyai banyak peluang perniagaan yang boleh dihasilkan oleh usahawan serta boleh dijadikan sumber pekerjaan,” katanya sewaktu menyem­purnakan majlis HIT Barber Award Nite 2017 di sini kelmarin.

MARA menerusi program HIT Barber menyediakan ekosistem perniagaan yang lebih menyeluruh meliputi latihan pembangunan usahawan, pembiayaan perniagaan, kemudahan infrastruktur dan pembangunan penjenamaan.

Sebagai langkah permulaan, MARA telah mengadakan seminar transformasi usahawan penggun­ting rambut pada Ogos lalu melibatkan penyertaan seramai 500 usahawan penggunting rambut dari seluruh negara.

Hasil daripada program tersebut, MARA telah mengenal pasti 20 orang usahawan penggunting rambut untuk digilap dan dikete­ngahkan sebagai usahawan berpotensi khususnya sebagai penggun­ting rambut profesional menerusi penglibatan mereka dalam program HIT Barber.

Melalui HIT Barber juga, dijangka 10 kedai gunting rambut HIT akan dibuka diterajui oleh para peserta HIT Barber dengan membawa jenama HIT Premium Penggunting Rambut, HIT Mobile dan HIT Express Cut.

HIT Premium Penggunting Rambut merupakan konsep perniagaan yang berprestij di mana akan beroperasi di lokasi prime area de­ngan menawarkan perkhidmatan up-mar­ket dan high class.

HIT Mobile, pula menawarkan perkhidmatan penggunting rambut bergerak menggunakan trak yang telah diubah suai, manakala HIT Express Cut menawarkan perkhidmatan penggunting rambut cepat, pantas dan murah.

Menurut Awang Adek, penyer­taan usahawan dalam program HIT Barber dilihat dapat membantu meningkatkan industri gunting rambut negara secara menyeluruh dan berpotensi menjadikan tukang gunting rambut sebagai kerjaya profesional dan berdaya saing di peringkat global.

“Saya berharap usaha ini dapat mengubah sikap usahawan bumiputera terhadap industri gun­ting rambut sebagai satu industri yang boleh menjamin pendapatan tinggi dan mempunyai masa depan yang cerah untuk diterokai secara profesional,” katanya.

Pada majlis tersebut, dua orang peserta HIT Barber dipilih mene­rima Anugerah HIT London 2017. Mereka akan mengikuti kursus lanjutan pada Disember ini di London School Of Barbering (LSB), United Kingdom.

Peserta itu, Dzulbakhtiar Rajudin, 33 dari Rembau, Negeri Sembilan dan Afian Mohamad, 29, dari Sungai Petani, Kedah terpilih berdasarkan kriteria sikap, kemahiran, komitmen semasa serta memiliki daya keusahawanan yang tinggi.

Sementara itu, Mohd. Yousman Mustaffa, 33 dari Jerantut, Pahang yang menunjukkan penglibatan dan komitmen sepanjang program HIT Barber dipilih untuk menerima Anugerah Komitmen Terbaik Hit Barber 2017.

“Saya yakin apabila kedua-dua peserta yang terpilih ke LSB itu pulang ke negara ini, mereka akan mempunyai kepakaran dan kemahiran yang lebih baik. De­ngan sijil profesional yang bakal mereka terima itu yang diiktiraf seluruh dunia sekali gus dapat mengangkat martabat serta memajukan bidang keusahawanan pengguntingan rambut di negara ini serta bidang-bidang berkaitan.

“Rebutlah peluang selama ber­ada di London dan jadilah penggunting rambut ikon bagi membantu industri ini di Malaysia ke tahap yang lebih tinggi setanding dengan kepakaran di peringkat dunia,” kata Awang Adek.