Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan, walaupun menjadi hak mereka untuk menyokong mana-mana parti politik namun setiap kakitangan kerajaan terikat dengan peraturan dalam perkhidmatan

awam.

“Jika sudah naik pentas pembangkang, bersyarah dan hentam kerajaan, ada pula elemen tidak sihat dibangkitkan dan wujud unsur fitnah, saya ingatkan lebih baik tinggalkan profesion itu dan lawanlah secara betul-betul.

“Bagi saya ini tidak begitu sihat. Bukan kita hendak tutup demokrasi itu, tetapi tidak patutlah sampai ke situ kerana kita terikat dengan peraturan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas Majlis Dialog Pendidikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Alias Ali; Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Khair Mohamad Yusof; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi negeri, A Latiff Awang dan Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin.

Sesi dialog itu merupakan sebahagian daripada Program Jelajah Pendidikan 2017, suatu penjenamaan semula program turun padang kementerian itu. - UTUSAN ONLINE