DMJ menyifatkan tindakan membatalkan diskaun dan faedah PTPTN kepada para peminjam pada 31 Disember 2018 adalah satu tindakan yang tidak adil kepada para penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.

Menurut DMJ, dalam kerajaan masih mencari formula baharu menangani isu berkenaan PTPTN, inisiatif diskaun dan faedah patut diteruskan dan secara tidak langsung akan mendatangkan kesan kepada kebajikan mereka terutama yang bergaji tidak sampai RM2,500.

"Petisyen akan diserahkan kepada Ibu Pejabat PTPTN pada 17 Januari 2019 sekali gus kami menjemput mahasiswa yang berkelapangan untuk turut serta semasa penyerahan petisyen berkenaan.

"Bagi kami, u-turn sekali lagi untuk perkara ini adalah tidak mengapa kerana ia amat penting untuk kebajikan kami semua. Mohon suara kami didengari pihak yang berkenaan," kata DMJ dalam satu kenyataan di sini hari ini.

DMJ berkata, mereka yang mahu menandatangani petisyen itu boleh berbuat demikian di sini.

Justeru, DMJ berharap rakan mahasiswa memberikan sokongan kepada usaha murni itu bagi membela nasib rakan-rakan yang terpaksa melalui detik sukar di luar sana dalam keadaan ekonomi yang menghimpit pada masa ini. - UTUSAN ONLINE