Tiga lagi menteri ialah Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A. Xavier Jayakumar, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, status Facebook yang dimuat naik pada siang 27 November oleh Ganabitirau dengan mendakwa serangan terhadap kuil itu dilakukan oleh orang Islam serta kenyataan bertulis empat menteri berkenaan yang menyalahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membangkitkan kemarahan kaum India.

Katanya, provokasi itu telah membangkitkan kemarahan kira-kira 10,000 kaum India untuk keluar beramai-ramai pada malam kedua sehingga menyebabkan rusuhan dan mengakibatkan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim yang disahkan meninggal dunia semalam mengalami kecederaan parah.

“Pemuda UMNO mendesak agar pihak Peguam Negara segera mengambil tindakan tegas terhadap Ganabatirau dan empat orang menteri lain termasuk Waytha Moorthy, Kulasegaran, Gobind dan Xavier Jaykumar, dengan mendakwa di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengeluarkan kenyataan dengan niat mengaibkan dan membangkitkan pecah keamanan.

“Kami mahu siasatan dan pendakwaan dilakukan secara telus, adil dan tidak pilih kasih. Keadilan mesti dilihat ditegakkan lantaran melibatkan nyawa seorang penjawat awam yang tidak berdosa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Asyraf Wajdi, Pemuda UMNO sekali lagi mendesak Waytha Moorthy untuk meletakkan jawatan selaku Menteri Perpaduan kerana bukan sahaja gagal menjernihkan ketegangan kaum yang tercetus, tetapi turut menyalakan api kemarahan kaum India dengan menyalahkan PDRM sehingga tercetusnya rusuhan lebih dahsyat pada malam kedua.

“Selaku anggota pentadbiran kerajaan, mereka seharusnya mengelak daripada menggunakan sentimen perkauman dalam mengeluarkan kenyataan,” katanya.

Pada masa sama, Pemuda UMNO meminta orang ramai bertenang dan mengelak daripada mencetuskan apa jua bentuk sentimen perkauman mahu pun agama yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.-UTUSAN ONLINE