Ahli Majlis Tertinggi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zaid Nabil Zakuan berkata, pihaknya menerima banyak aduan dan maklum balas peserta mengenai karnival kerjaya yang mendakwa merupakan karnival kerjaya terbesar zon utara dengan menawarkan lebih daripada 5,000 kekosongan jawatan.

Katanya, penganjur karnival selama dua hari bermula 30 September hingga 1 Oktober lalu yang berlangsung di sebuah hotel di Alor Setar, Kedah itu mengenakan bayaran RM10 bagi mendapatkan borang permohonan pekerjaan sementara graduan turut dinasihatkan membeli sekurang-kurangnya lima set borang untuk mencerahkan peluang mendapatkan pekerjaan.

“GPMS sangat bertegas dengan isu pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan terhadap graduan yang menganggur khususnya kepada syarikat-syarikat yang sering membuli graduan dengan mengenakan bayaran tidak setimpal dengan skop pekerjaan dan waktu bekerja.

“Kami menggesa kerajaan mengambil tindakan kepada penganjur kerana mengambil kesempatan dalam kesempitan yang dihadapi graduan yang dahagakan peluang pekerjaan. Oleh itu, tindakan tegas perlu diambil supaya perkara ini tidak berulang, Kementerian Sumber Manusia juga perlu memantau perkara ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tindakan penganjur, Jobsifu.com mengenakan bayaran bagi setiap borang permohonan pekerjaan ketika Expo Kerjaya Terbesar Zon Utara 2017, baru-baru ini mencetuskan kemarahan graduan yang berang kerana menyifatkannya sebagai tidak masuk akan dan sengaja mengambil terhadap kesempatan ke atas mereka.

Dalam pada itu, Zaid Nabil berkata, GPMS turut menerima laporan daripada pengunjung yang mendakwa ruang pameran pekerjaan tidak dipenuhi dengan syarikat yang berkaitan tetapi lebih kepada jualan produk-produk kecantikan dan jualan makanan.

Selain itu, kata beliau, memandangkan karnival itu mensasarkan graduan dari zon utara, graduan yang hadir dari Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis terpaksa pulang dengan perasaan hampa sementara laman Facebook JobSifu.com turut ditukar nama selepas kejadian itu tular di media sosial.

“Jobsifu.com harus bertanggungjawab di atas kejadian ini. Tidak semua datang dari keluarga yang senang dan mereka membawa harapan kedua ibu bapa untuk mencari peluang pekerjaan.

“Bayangkan mereka datang dari jauh dan mungkin cukup wang untuk perbelanjaan tambang dan makan tetapi telah diperas untuk membeli borang permohonan. Graduan telah menanggung banyak kerugian dari segi kewangan, masa dan tenaga untuk hadir tetapi dipergunakan sebagai bahan untuk mengaut keuntungan. Cukup-cukuplah menganiayai graduan,” tegasnya. - UTUSAN ONLINE